KES Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melonjak ketika varian Delta yang menular pantas mendominasi dan vaksinasi semakin perlahan, menurut data pada Rabu.
Purata kes baharu bagi tempoh tujuh hari adalah 13,859 pada 6 Julai, meningkat 21% berbanding dua minggu sebelumnya, menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Kes mungkin meningkat lebih tinggi kerana kelewatan laporan susulan cuti hujung minggu 4 Julai.
Lonjakan kes berpunca daripada varian Delta, yang lebih mudah menular berbanding varian sebelum ini, menyumbang kira-kira 52% kes dalam tempoh dua minggu yang berakhir pada 3 Julai, menurut CDC.
Walaupun mempunyai bekalan vaksin tertinggi berbanding kebanyakan negara lain, kempen imunisasi Amerika menurun sejak April.
Presiden Joe Biden hampir gagal mencapai matlamatnya untuk memastikan 70% penduduk dewasa divaksin menjelang Hari Kemerdekaan, dengan jumlah sekarang sebanyak 67%.
Kawasan di Barat Daya dan Selatan dengan kadar vaksinasi yang lebih rendah mengalami kadar kes lebih tinggi berbanding wilayah dengan kadar vaksinasi tinggi seperti Timur Laut, trend yang semakin meningkat dalam beberapa minggu terakhir.
Sebuah hospital di Springfield, Missouri, kehabisan ventilator untuk merawat pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital pada hujung minggu, lapor media tempatan.
Dua hospital di bandar itu merawat 213 pesakit Covid-19 pada Isnin, meningkat dari 168 pesakit pada Jumaat dan 31 pada 24 Mei, kata Kansas City Star. – AFP, 8 Julai, 2021.
Komen