Umno tarik sokongan kepada Muhyiddin, umum Zahid Hamidi


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media yang diadakan secara dalam talian di ibu pejabat parti itu di PWTC, Kuala Lumpur.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Julai, 2021.

UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri berkuat kuasa serta merta kerana pentadbirannya telah gagal, kata presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Umno juga mendesak agar Muhyiddin letak jawatan “secara terhormat” bagi membuka ruang untuk seorang perdana menteri baharu dilantik bagi suatu tempoh yang terhad untuk menguruskan hal ehwal berkaitan Covid-19.

Keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berlangsung lebih empat jam malam tadi.

“Bagi memenuhi mandat sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat tadi, maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” katanya, dalam sidang media yang diadakan menjelang pukul 1 pagi sebentar tadi.

Umno mempunyai 38 kerusi di Dewan Rakyat, serta 4 kerusi yang dipegang oleh komponen Barisan Nasional (BN). MCA mempunyai 2 kerusi sementara MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.

Umno juga mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin yang dibentuk pada 1 Mac 2020 selepas percaturan politik pada hujung Februari sebelumnya, yang dikenali sebagai episod Langkah Sheraton.

Dalam sidang medianya, Ahmad Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak menyebut menyebut kedudukan sokongan gabungan itu kepada kerajaan Muhyiddin.

Ahmad Zahid sebelum itu menggariskan kegagalan kerajaan Muhyiddin berdasarkan tujuh kegagalan pentadbiran Muhyiddin yang diukur berdasarkan syarat yang Umno tetapkan semasa mendukung pembentukan kerajaan baharu menggantikan Pakatan Harapan pada Mac 2020.

Syarat Umno itu berasaskan kepada dua perkara iaitu, pertama, sebuah kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat dan kedua, kerajaan yang menangani kelembapan ekonomi serta melakar pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19.

Beliau juga merujuk mandat sebulat suara yang diberikan oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Mac 2021 kepada MKT Umno untuk menentukan tempoh yang sesuai menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

Menurut Ahmad Zahid, perdana menteri baharu nanti hanya akan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, selain memastikan proses imunisasi dipercepatkan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Ahmad Zahid menekankan pilihan raya itu penting bagi membolehkan sebuah kerajaan “yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan”.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata MKT Umno juga menegaskan sekali lagi pendirian parti menolak sebarang usaha mengangkat Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri serta tidak menyokong kerajaan yang ditunjangi DAP-PH.

Mesyuarat MKT Umno malam tadi bermula pukul 8.30 malam dan dijalankan secara dalam talian, kata setiausaha agung Umno Ahmad Maslan sebelum mesyuarat.

Mesyuarat itu juga berlangsung beberapa jam selepas Muhyiddin melantik naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan keselamatan.

Kedua-dua mereka menerima pelantikan itu sejurus selepas pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri petang tadi.– 8 Julai, 2021.

Nota pengarang: Laporan ini dikemaskini dengan membetulkan laporan awal yang menyebut Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen