Petugas kesihatan bimbang peningkatan pesakit, kes negatif palsu 


Ravin Palanisamy

Peningkatan kes negatif palsu Covid-19 menyebabkan petugas kesihatan terdedah dengan risiko jangkitan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

KES Covid-19 terus menular dalam kalangan petugas kesihatan hospital kerajaan, sebahagiannya disumbangkan oleh kes negatif palsu dari peningkatan jumlah pesakit, kata doktor.

Petugas kesihatan turut kecewa kerana tidak tahu di mana atau bagaimana rakan setugas mereka dijangkiti Covid-19 yang menular dalam komuniti dengan kes jangkitan harian antara 6,000 dan 7,000 kes sejak kebelakangan ini.

Menurut data Kementerian Kesihatan, seramai 8,415 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 setakat 20 Jun.

Seorang doktor yang enggan identitinya dikenali memberitahu The Malaysian Insight keputusan negatif palsu daripada ujian Covid-19 meningkatkan kebimbangan  dan menjadi salah satu punca jangkutan terhadap petugas kesihatan.

“Sebelum masuk, ujian RTK-Antigen Covid-19 dibuat ke atas semua orang.

“Tetapi kini, kadar kes negatif palsu tinggi (kerana peningkatan pesakit). Oleh itu, ada yang berubah menjadi positif kemudian, dan penyebarannya bermula dari situ,” kata doktor.

Walaupun kebarangkalian negatif palsu “tidak terlalu tinggi”, doktor mengatakan ia masih memberi kesan apabila lebih banyak pesakit Covid-19 yang dibawa masuk.

“Kadar negatif palsu mungkin tidak terlalu tinggi tetapi dengan peningkatan pesakit, secara statistik kadarnya boleh meningkat,” katanya.

Situasi diburukkan lagi dengan pesakit yang tidak jujur apabila menjawab soalan ketika proses ujian saringan atau kepada doktor yang bertugas.

Katanya ia menyebabkan petugas kesihatan terdedah kepada jangkitan.

“Apabila kita mempunyai pesakit dari zon merah Covid-19 atau seseorang yang mempunyai gejala, ada yang tidak telus ketika pemeriksaan.

“Mereka mungkin pembawa virus, namun mereka akan dimasukkan berdasarkan keputusan negatif palsu, yang akan mencetuskan penularan, menyebabkan kakitangan perubatan terdedah,” katanya.

Ujian RTK-Antigen digunakan untuk mempercepat proses kemasukan tetapi satu-satunya cara untuk melindungi pekerja kesihatan dan pesakit lain adalah dengan melakukan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada semua pesakit yang masuk.– 8 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen