THAILAND menukarkan terminal baharu siap dibina di Lapangan Terbang Suvarnabhumi menjadi hospital lapangan ketika negara itu bersedia menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19.
Kajian menunjukkan kes harian Covid-19 di Thailand boleh mencecah 10,000 akibat penularan varian Delta, yang dijangka menjadi varian paling dominan sekitar awal bulan Ogos nanti.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, hospital lapangan itu akan menyediakan lebih kurang 5,000 katil.
“Hospital lapangan ini dijangka dibuka bulan depan,” katanya pada sidang harian Covid-19 di Bangkok hari ini.
Hospital lapangan itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti unit rawatan rapi (ICU), bilik perubatan dan sokongan buat pesakit dengan gejala ringan hingga sederhana.
Kompleks terminal baharu empat tingkat itu adalah sebahagian daripada rancangan bernilai 62 bilion baht bagi membesarkan lapangan terbang tersebut yang telah diluluskan pada 2011.
Sementara itu, Dr Apisamai memberi amaran kes harian Covid-19 di negara itu dapat mencecah 10,000 berikutan penularan varian Delta.
Beliau berkata, kajian mendapati kadar jangkitan varian Delta di kebanyakan negara naik dua kali ganda dalam setiap dua minggu.
“Thailand mungkin melihat peningkatan kes harian sehingga 10,000 pada bulan Ogos,” katanya.
Sementara itu, CCSA bakal mempertimbangkan cadangan Kementerian Kesihatan Awam untuk mengadakan sekatan di Bangkok dan wilayah-wilayah berdekatan dalam usaha untuk mengekang lonjakan Covid-19. – Bernama, 7 Julai, 2021.
Komen