TURKMENISTAN pada Rabu mengumumkan vaksinasi wajib untuk semua orang dewasa walaupun negara Asia Tengah yang rahsia itu mengaku tidak merekodkan sebarang jangkitan koronavirus.
Akhbar Turkmenistan Neutral melaporkan semua warganegara berusia atas 18 tahun “wajib diberi vaksin.”
Mereka yang mempunyai alahan perubatan akan dikecualikan dari inokulasi, kata akhbar itu, memetik kementerian kesihatan.
“Untuk menjadikan vaksinasi berkesan, kita perlu terlibat secara aktif dalam proses ini,” kata kementerian kesihatan.
Turkmenistan salah satu dari beberapa negara, bersama dengan Korea Utara, yang belum mengumumkan sebarang kes koronavirus.
Negara Asia Tengah yang terpencil itu telah meluluskan dua vaksin Rusia dan dua vaksin China.
Pemimpin Turkmenistan Gurbanguly Berdymukhamedov dalam wawancara yang diterbitkan pada Jun berkata, “terima kasih pada kerja (kami) telah buat”, Turkmenistan “belum ada kes.”
Walaupun Turkmenistan tidak ada media bebas, media luar selalu menimbulkan keraguan terhadap dakwaan bebas koronavirus itu.
Seorang diplomat Turki di Turkmenistan dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit itu tahun lalu dan duta besar United Kingdom mengaku di media sosial pada Disember beliau telah dijangkiti koronavirus ketika berada di negara itu.
Hujung minggu lalu, satu lagi negara Asia Tengah, Tajikistan, mewajibkan vaksin kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas. – AFP, 7 Julai, 2021.
Komen