Selangor, KL terus catat kes harian tertinggi, umum Kementerian Kesihatan


Seorang jururawat menyediakan dos vaksin Covid-19 untuk warga emas semasa vaksinasi dari rumah ke rumah di Sabak Bernam, Selangor pada 6 Julai 2021. Hari ini Selangor terus menjadi negeri paling banyak kes dengan 3,119 jangkitan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Julai, 2021.

SELANGOR dan Kuala Lumpur terus mencatatkan kes baharu Covid-19 yang tertinggi ketika Malaysia kini hampir merekodkan 800,000 jangkitan terkumpul sejak virus itu dikesan di negara ini pada hujung Januari 2020.

Dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan mengesan 7,097 lagi kes baharu Covid-19, umum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Lebih daripada separuh kes baharu itu bertumpu di Lembah Klang, katanya, iaitu hampir enam dalam setiap 10 kes.

Selangor mengesan 3,119 kes sementara Kuala Lumpur 1,005 kes, menjadikan kes terkumpul jangkitan Covid-19 di seluruh negara kini sebanyak 799,790 — kurang 210 kes untuk mencecah paras 800,000.

Selangor kini mengesan keseluruhan 268,841 kes, bersamaan satu pertiga daripada keseluruhan kes terkumpul di seluruh negara, sementara Kuala Lumpur merekodkan 83,909 kes terkumpul.

Sebahagian besar daerah di Selangor serta 19 lokaliti Kuala Lumpur kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan yang berkuat kuasa secara berperingkat sehingga 16 Julai.

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan 788 lagi kes baharu Covid-19 diikuti Melaka (358), Sarawak (289), Pahang (258), serta Johor dan Sabah yang masing-masing mengesan 244 kes.

Tiga negeri merekodkan kurang daripada 200 kes iaitu Perak (187), Pulau Pinang (140), dan Kelantan (123).

Dua negeri mencatatkan kes kurang daripada 100 iaitu Terengganu (43) dan Perlis (2) bersama dua wilayah persekutuan iaitu Labuan (93) dan Putrajaya (26). – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen