PENDUDUK Taman Melawati di Kuala Lumpur marah dengan pembakaran terbuka di Bukit Tabur, dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan perkara tersebut.
Mereka berkata pembakaran terbuka semakin menjadi-jadi sejak Ogos tahun lalu, dan dikhuatiri menyebabkan haiwan liar menceroboh kawasan perumahan.
Mereka menambah orang awam dilarang mendaki di kawasan itu sejak 2017, dan menyalahkan pemilik tanah persendirian berhubung pembakaran terbuka untuk kegiatan pertanian.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Azhari Abd Taharim berkata pembakaran itu sudah lama berlaku.
“Sejak kami memegang jawatan pada 2019, kami memantau pembakaran terbuka di Bukit Tabur dan kami merakamnya dengan perincian penuh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Insiden terbaru, yang dirakam pada lewat petang 2 Julai, adalah video sepanjang tujuh saat, yang menunjukkan api marak di sebelah barat Bukit Tabur.
Azhari yang melakukan lawatan ke lokasi sehari sebelum kejadian terbaru, berkata pekerja di sana berjanji kepadanya secara isan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka.
Beliau berkata Bukit Tabur ditutup untuk orang ramai sejak 2017 dan mereka yang ingin mendakinya perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa berkaitan.
Menurutnya, walaupun sudah lama ditutup untuk orang awam, pemilik tanah persendirian dipercayai memberi keizinan untuk menjalankan kegiatan pertanian di lereng Bukit Tabur.
“Saya sudah membuat banyak aduan kepada pihak berkuasa tetapi hanya kadang-kala tindakan diambil,” katanya.
Kennedy John, 49, penduduk Taman Melawati sejak 1976 berkata pembakaran terbuka di Bukit Tabur semakin teruk sejak Ogos tahun lalu.
“Pihak berkuasa sepatutnya melaksanakan penguatkuasaan penuh undang-undang dengan ketat dan segera selepas menerima aduan.
“Mereka juga perlu menjadikan kejadian itu diketahui ramai agar tidak berlaku pembakaran terbuka,” katanya.

Seorang lagi penduduk Lim Soon Ann, 53, yang tinggal di Taman Melawati selama hampir 30 tahun berkata pembakaran terbuka hanya akan berhenti sekejap apabila pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Disebabkan pembakaran terbuka, haiwan liar di Bukit Tabur kehilangan habitat mereka dan terdapat ular tedung berkeliaran di kawasan perumahan.
“Bahkan ada monyet terpaksa mencari makanan di kawasan perumahan,” katanya.
Lim berkata Bukit Tabur mesti dikekalkan kerana ia adalah kawasan tadahan untuk empangan Klang Gate.
Ketika dihubungi, Pegawai Perhubungan Media Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata pihak majlis sudah menerima aduan daripada persatuan pada 4 Julai.
“Penysiasatan mendapati aduan itu berpunca daripada tindakan petani di sekitar Bukit Tabur yang melakukan pembakaran terbuka untuk tujuan membersihkan kawasan tersebut.
“Jabatan Penguatkuasaan MPAJ sudah mengeluarkan notis Borang B, di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan, 1976, kepada pengusaha ladang atas kesalahan pembakaran terbuka,” katanya.
Beliau menambah yang pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan pengusaha ladang mematuhi notis majlis dan kejadian pembakaran terbuka tidak lagi mengganggu penduduk pada masa akan datang. – 7 Julai, 2021.
Komen