KERAJAAN Indonesia memohon bantuan bekalan oksigen dari Singapura dan negara lain termasuk China susulan peningkatan drastik jumlah pesakit Covid-19 di republik itu.
Menteri Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan berkata sekitar 10,000 oxygen concentrator atau alat penghasil oksigen akan diterbangkan dari Singapura dengan pesawat kargo Hercules hari ini.
“Kami telah berhubung dengan Singapura, China dan beberapa sumber lain bagi bantuan.
“Kami juga akan memohon bantuan bekalan dari negara lain jika masih tidak mencukupi,” katanya.
Luhut juga memberi amaran jangkitan Covid-19 mungkin mencecah 50,000 kes sehari susulan penularan mendadak varian delta.
Sebanyak 29,745 kes baharu direkodkan semalam, dengan 558 kematian.
Katil di kebanyakan hospital di bandar terbesar di Indonesia, iaitu Surabaya kini penuh dan tidak menerima pesakit baharu. – AFP, 6 Julai, 2021.
Komen