1 lokaliti di Kelantan dan Sabah dikenakan PKPD mulai Rabu, kata Ismail Sabri


Satu kawasan di Kelantan dan Sabah akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula Rabu ini sehingga 20 Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan dan Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Tawau, Sabah berkuat kuasa Rabu ini hingga 20 Julai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju dengan pelaksanaan PKPD itu setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara dan PKPD hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pelanjutan PKPD di beberapa kawasan hingga 20 Julai melibatkan Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka serta Kampung Ejuk, Kota Belud, dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu, Sabah.

Pelaksanaan PKPD di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah, Mukah, Sarawak pula akan dilanjutkan bermula Rabu hingga 13 Julai.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD pada pukul 11.59 malam esok di beberapa kawasan melibatkan Kilang Sawit Cahaya Muda, Batang Padang, Perak serta  Blok 11, Kampung Titingan dan Batu 7 Jalan Tinagat di Tawau, Sabah.

Pada masa sama, beliau memaklumkan penamatan awal PKPD pada pukul 11.59 malam esok di beberapa kawasan membabitkan Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Kuarters Pekerja Mukah Palm Oil Mill di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak (dijadual tamat 13 Julai) serta sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak (dijadual tamat 16 Julai).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata enam kilang dan 12 premis perniagaan diarahkan tutup kerana melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam pemeriksaan yang dilaksanakan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, semalam.

Beliau juga memaklumkan 679 individu ditahan kerana ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 666 dikompaun, lapan direman manakala lima dijamin. – Bernama, 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen