KEMENTERIAN Kesihatan terus melaporkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di unit rawatan rapi (ICU) apabila terdapat 923 kes sedang dirawat di unit berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 433 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Noor Hisham menambah bahawa dalam tempoh 24 jam terakhir, sebanyak 77 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian keseluruhan di seluruh negara sebanyak 5,574.
Jumlah kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 30 kes di Selangor, masing-masing 10 kes di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, lapan kes di Melaka, tujuh kes di Johor, empat kes di Kedah dan Pahang, tiga kes di Kelantan dan satu kes di Labuan.
Noor Hisham berkata terdapat 4,532 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 710,018 pesakit pulih dengan 69,447 kes aktif.
Pesakit tertua yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah lelaki Malaysia berusia 87 tahun dari Selangor yang mempunyai tekanan darah tinggi dan merupakan pesakit strok.
Mangsa termuda pula adalah lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dari Kuala Lumpur yang menderita obesiti. – 5 Julai, 2021.
Komen