PERINTAH darurat serta kesan ekonomi yang berpunca daripada pandemik Covid-19 di negara ini perlu diberi keutamaan berbanding perkara lain apabila Parlimen bersidang, kata ahli Parlimen.
Tambahan pula kata mereka, masa yang diperuntukkan untuk persidangan Parlimen tahun ini hanya lima hari.
Antaranya, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kecewa kerana persidangan pada akhir bulan ini hanya akan menjadi acara untuk mendengar ceramah kerajaan.
Persidangan tersebut sebaliknya perlu memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli Parlimen untuk membangkitkan pelbagai masalah rakyat, katanya.
“Saya nak bawa isu rakyat. SOP dua darjat. Yuran universiti, nasib mahasiswa. Moratorium tanpa faedah. Dahulukan rakyat, bukan untung bank besar.
“Bantuan tunai untuk rakyat. Peniaga kecil mati, tapi kilang (boleh peroperasi). Tolonglah. Kalau hendak buka, buka seluas-luasnya. Bukan sekadar formaliti supaya kami dengar ceramah kerajaan.
“Saya wakil rakyat. Rakyat bayar gaji saya. Saya wajib berkhidmat untuk mereka. Buat apa buka parlimen jika tiada perbahasan dan undian,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan juga mendesak waktu persidangan ditambah untuk membolehkan perintah darurat dibahaskan oleh ahli dewan dan tidak sekadar dibentangkan.
“Ordinan-ordinan darurat wajar dibahas bukan hanya dibentang, cuma diletak atas meja.
“Wajar paling kurang beri 20 hari, untuk bahas banyak perkara tentang Covid-19 dan RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12),” katanya di Twitter.
Setiausaha agung Umno itu berkata kerajaan perlu membenarkan persidangan secara bersemuka kerana semua ahli Parlimen dan kakitangan sudah divaksin.
Sementara itu naib presiden Amanah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata perbahasan mengenai darurat dan pandemik lebih penting berbanding isu lain.
“Tiada masalah untuk pinda peraturan mesyuarat bagi membolehkan persidangan secara hibrid tetapi ia tidak seharusnya diutamakan berbanding darurat dan pandemik Covid-19.
“Kita boleh pinda peraturan mesyuarat bagi membolehkan mesyuarat di masa akan datang tetapi isu yang paling penting ialah Perintah Darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos,” katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin turut berpandangan perbahasan perintah darurat lebih penting berbanding pindaan peraturan mesyuarat bagi membolehkan persidangan secara hibrid.
“Seperti sekarang, kita adalah kelompok pertama yang mencapai imuniti kelompok dengan semua ahli Parlimen, Senator dan kakitangan Parlimen diberi vaksin sepenuhnya.
“Jadi, mengapa terburu-buru dengan idea hibrid ini sedangkan hanya ada lima hari untuk lebih daripada 200 ahli Parlimen menyuarakan masalah pengundi?”
Sim yang juga bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata, isu yang lebih penting adalah untuk kemukakan idea baharu berhubung bagaimana untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19 untuk tempoh 18 bulan.
“Dalam tempoh ini, ramai yang hilang punca pendapatan, menyebabkan mereka terpaksa meminjam daripada lintah darat dan ada yang membunuh diri.
Bukankah ia lebih penting untuk membantu mereka daripada membincangkan sama ada kita patut bersidang secara hibrid,” kata pemimpin PKR itu.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata bahawa persiapan untuk persidangan hibrid adalah baik namu ia tidak kena pada masanya.
“Ia adalah perkara yang baik tetapi pada masa yang salah kerana lebih banyak isu penting yang perlu dilihat. Saya boleh menerima pindaan peraturan mesyuarat untuk sidang hibrid di masa akan datang, tetapi buat masa ini tidak sesuai.”
Chan turut menyatakan kakitangan Parlimen dan ahli Parlimen merupakan antara yang terawal mencapai imuniti kelompok justeru ia bukan keutamaan untuk membahaskan perkara ini.
“Apa yang lebih penting ialah untuk menbantu rakyat Sabah yang terjejas kerana pandemik dan sekatan pergerakan,” kata pemimpin DAP itu. – 5 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen