BEKAS perdana menteri Najib Razak hari ini mencadangkan skim pinjaman bunga rendah bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Najib berkata skim i-Survive RM5,000 perlu dijamin oleh kerajaan dengan kadar faedah 3% setahun atau RM150 setahun atau maksimum RM450 setahun untuk jangka masa tiga tahun.
“Tidak ada ansuran bulanan di bawah skim ini dan kerajaan akan membantu membayar balik prinsipal dengan potongan separuh bayaran BR1M atau BPN bagi golongan B40 dan M40 bermula tahun 2022 depan,” katanya.
Beliau mencadangkan skim ini kerana ramai yang tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka apabila skim i-Citra yang terbaru diperkenalkan di bawah bantuan Pemulih sangat mengecewakan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional sudah membelanjakan RM600 bilion tanpa hasil yang menjanjikan dan beliau mencadangkan skim ini untuk mengelakkan orang ramai pergi ke Kredit Komuniti.
“Tempoh bayaran balik ialah sehingga tahun kemudian dan hanya akan mengenakan faedah 3% setahun atau RM150 setahun atau maksima RM450 untuk keseluruhan tempoh 3 tahun.
“Jika BR1M sebanyak RM2,000 setahun maka kerajaan akan potong RM1,000 pada tahun depan untuk digunakan untuk membayar balik RM1,000 bagi prinsipal skim i-Survive.
“Jika RM1,000 dibayar kerajaan setiap tahun maka jumlah pinjaman RM5,000 ini akan berkurang sebanyak RM3,000. Peminjam cuma perlu langsaikan baki RM2,000 itu sahaja.
“Peminjam yang mampu bayar balik setelah ekonomi memulih, digalakkan untuk langsaikan sepenuhnya sahaja,” katanya.
Najib berkata, skim itu perlu dibuka diwujudkan kepada semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Mohon hari ini, automatik mendapat kelulusan tanpa perlu sebarang penilaian permohonan. Wang RM5,000 masuk akaun tiga hari kemudian,” cadang Najib.
Beliau berkata bank tidak akan mengalami kerugian kerana kadar faedah 3% masih lebih tinggi dari kadar faedah 1.95% yang dibayar oleh bank untuk simpanan tetap tiga tahun ketika ini.
“Bank juga tidak akan rugi sebab kerajaan akan bantu melangsaikan sebahagian hutang setiap tahun serta menjamin keseluruhan jumlah pinjaman.
“Bank masih untung tetapi keuntungannya tidak seperti biasa,” katanya. – 5 Julai, 2021.
Komen