KERAJAAN akan mempertimbangkan untuk mengutamakan vaksin kepada kanak-kanak yang berisiko tinggi dan menghidap penyakit kronik, kata Dr Adham Baba.
Menteri kesihatan berkata kanak-kanak yang sihat tanpa sebarang penyakit dan berisiko rendah juga mungkin akan diberikan vaksin, namun pada fasa berikutnya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keputusan ujian klinikal yang sedang dijalankan menggunakan vaksin Covid-19 Pfizer dengan dos yang rendah pada kanak-kanak, dan data keselamatan dan keberkesanan dunia nyata dari negara-negara yang menggunakan selang waktu berbeza antara dos vaksin pada golongan muda untuk melihat sama ada ia lebih selamat.
Dr Adham berkata terdapat bukti berlakunya miokarditis pasca vaksinasi yang menunjukkan adanya perkaitan dengan vaksin mRNA Covid-19.
“Pilihan untuk menggunakan vaksin yang tidak aktif juga harus dipertimbangkan untuk remaja setelah data keselamatan dan keberkesanan tersedia untuk golongan usia ini,” kata menteri kesihatan pada sidang media mingguannya hari ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 (JKPCV) turut mengesyorkan penubuhan satu sistem untuk memantau keradangan jantung daripada vaksin mRNA.
Katanya jawatankuasa berkenaan turut mengesyorkan pembukaan semula sekolah.
Sementara itu, ketika ditanya bila kanak-kanak sihat akan divaksin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang menyambung pengajian di luar negara.
“Kami akan pertimbangkan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak sihat selepas vaksinasi golongan dewasa selesai.
“Jawatankuasa teknikal turut diminta memantau mereka yang menyambung pengajian di luar negara untuk melihat sama ada kita akan berikan vaksin Pfizer atau Sinovac. Tetapi buat masa ini keutamaan diberikan kepada mereka yang menyambung pengajian di luar negara,” kata Khairy.
Menurutnya kerajaan hanya akan berikan vaksin kepada mereka yang mencapai usia 18 tahun pada tahun ini.
“Sekiranya mereka kini berusia 17 tahun dan akan mencapai umur 18 tahun ini, ibu bapa perlu menandatangi borang kebenaran.” – 5 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen