Lebih RM600 juta bantuan disalurkan agensi agama, kata menteri


Bantuan dalam pelbagai bentuk itu disalurkan menerusi pelbagai agensi antaranya Yadim, YaPEIM, Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kata Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – Gambar Facebook, 5 Julai, 2021.

BANTUAN dalam pelbagai bentuk bernilai lebih RM600 juta telah disalurkan menerusi agensi agama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepada golongan yang memerlukan sehingga Jun.

Menterinya Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi agensi antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Usaha membantu mana-mana pihak yang memerlukan masih diteruskan, kita berterima kasih kepada pelbagai pihak yang turut sama menghulurkan sumbangan kepada golongan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian replika cek pembinaan Masjid Kampung Sungai Isap 2, Kuantan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Zulkifle Ali, di Pekan hari ini.

Selain wang tunai, agihan bantuan turut diberikan menerusi dana perniagaan, latihan kemahiran dan wakaf kesihatan.

Sementara itu beliau berkata, inisiatif Gerobok Rezeki atau bank makanan, mendapat sambutan yang baik daripada pihak syarikat mahupun individu perseorangan yang turut sama menyumbang. – Bernama, 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen