Harapan transgender tua, gelandangan di rumah perlindungan


Low Han Shaun

Alice bersama seorang lagi penghuni Seed Transgender Home di hadapan rumah perlindungan itu ketika ditemu bual The Malaysian Insight baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Januari, 2018.

ALICE (bukan nama sebenar), seorang wanita transgender mula menyedari “kelainan” pada dirinya ketika berusia 17 tahun, dan ketika itu dia tahu dia akan hidup sendirian, dan memasang niat untuk memastikan mampu menyara kehidupannya.

Namun, selepas bekerja sebagai tukang masak selama 30 tahun, Alice sedar dirinya tidak berduit, terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan dan hidup gelandangan pada usia 50, selepas dihalau keluar dari rumah keluarganya, tahun lalu.

“Saya 50 tahun sekarang, menghidap Hepatitis C, masalah jantung dan buah pinggang akibat satu kemalangan pada 1996.

“Emak saya meninggal dunia tahun lalu, dan bapa saya meninggal ketika saya 15 tahun,” katanya, menambah selepas kematian ibu, adiknya menjual rumah keluarga mereka, menyebabkan dia hidup gelandangan.

Alice tidur di jalanan di Kuala Lumpur selama setahun sebelum mengetahui tentang rumah perlindungan warga emas transgender, The Seed Transgender Home, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Penerimaan baik

Pengarah Seed Foundation, Nisha Ayub yang menjadi tulang belakang rumah perlindungan itu, berkata ia ditubuhkan pada Ogos lalu sebagai rumah untuk transgender berusia 40 tahun ke atas.

“Kita selalu bercakap tentang transgender berusia 30 atau 40 ke bawah, tetapi kita terlupa mereka jadi tua juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pada masa ini kami menyewa tempat itu daripada seseorang yang tidak mahu identitinya didedahkan.

“Sukar untuk menyewa tempat bagi dijadikan rumah perlindungan transgender di Malaysia.”

Rumah itu yang boleh menempatkan maksimum 10 orang, pada masa ini didiami enam penghuni. Yayasan membayar bil utiliti, makanan, sewa dan penyelenggaraan rumah.

Nisha berkata pihaknya mendapat dana daripada aktiviti mengumpul wang seperti bengkel dan ceramah.

Katanya, terlalu banyak rumah perlindungan dikendalikan oleh agensi kerajaan cuba untuk mengubah orientasi seksual penghuni mereka.

“Ada banyak rumah perlindungan di luar sana yang terbuka untuk transgener, tetapi objektif utama mereka ialah mengubah seseorang,” katanya.

Nisha berkata beliau berharap untuk mewujudkan suasana seperti rumah keluarga, sesuatu yang diharapkan penghuni terutama mereka sebagai transgender sudah lama terasing daripada keluarga.

“Di rumah ini, kita tidak cakap tentang agama atau bangsa.

“Rumah ini; tidak ada tanda ia rumah berasaskan Islam atau apa pun. Mereka masih boleh mengamalkan kepercayaan masing-masing di dalam bilik sendiri,” katanya.

Pada 2013, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memotong peruntukan untuk masyarakat transgender, menyebabkan ramai antara mereka terpaksa kembali ke dalam industri seks.

Nisha berkata stigma terhadap transgender mengatakan mereka pelacur menyebabkan sukar untuk golongan itu terlepas daripada prejudis yang dilemparkan terhadap mereka.

“Cuba anda tanya kenapa mereka jadi pekerja seks?

“Ia kerana bila orang tahu mereka transgender, sukar untuk mereka dapat kerja dan bila ada ahli politik kutuk orang transgender, mesejnya secara automatik menganjurkan ketakutan,” katanya. – 15 Januari, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen