Merdeka dari Covid-19, tetapi pandemik tetap jadi ancaman, kata Biden


Presiden Amerika Syarikat ketika berucap di Rumah Putih sempena sambutan ulang tahun ke 245 kemerdekaan AS berkata, negara itu sedang kembali kepada kehidupan normal, namun mengakui Covid-19 belum sepenuhnya dikalahkan. – Gambar EPA, 5 Julai, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden menyambut Hari Kemerdekaan AS pada Ahad dengan berkata negara itu sedang kembali kepada kehidupan normal selepas pandemik, walaupun Covid-19 belum sepenuhnya dikalahkan.

Berucap di hadapan 1,000 orang di Rumah Putih, Biden membuat perbandingan antara pengisytiharan kemerdekaan dari Britain pada 1776 dan pemulihan pesat dari koronavirus hari ini.

“245 tahun lalu, kita isytihar kemerdekaan kita dari raja yang jauh. Hari ini, kita hampir dekat untuk isytihar kemerdekaan dari virus yang mematikan,” katanya kepada orang ramai yang terdiri daripada anggota tentera dan pekerja penting yang dijemput.

“Kita dijalan yang betul untuk atasi virus ini,” katanya. Namun, tambahnya, “Jangan salah sangka: Covid-19 belum dikalahkan. Kita semua tahu varian dahsyat telah muncul, seperti varian Delta.”

Biden memberi penghormatan kepada mereka yang telah kehilangan nyawa, dengan jumlah kematian yang mengejutkan di Amerika Syarikat sekarang lebih dari 600,000.

Tetapi beliau memberikan kenyataan yang sangat optimis, menunjukkan di bawah kepemimpinannya negara itu - yang pahit dan kadang-kadang berpecah-belah semasa presiden Donald Trump - kembali bersatu.

“Sepanjang tahun lalu, kita mengahadapi beberapa hari paling gelap. Kita akan nampak masa depan yang paling cerah,” kata Biden. – AFP, 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen