Ratu Elizabeth II anugerah pingat kepada petugas kesihatan UK


Ratu Elizabeth II akan menganugerahkan pingat George Cross kepada para petugas kesihatan NHS. – Gambar EPA, 5 Julai, 2021.

RATU Elizabeth II akan menganugerahkan pingat George Cross kepada para petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom bagi mengiktiraf khidmat mereka semasa pandemik Covid-19, umum kerajaan negara itu semalam.

Pingat George Cross adalah penghormatan kedua tertinggi selepas Victoria Cross,  yang dikurniakan untuk kepada anggota tentera dan orang awam atas keberanian yang luar biasa.

“Anugerah ini mengiktiraf semua petugas NHS, yang masih bertugas atau sudah bersara, di seluruh empat negara,” kata ratu berusia 95 tahun itu dalam kenyataan rasmi.

“Selama lebih tujuh dekad, mereka telah membantu rakyat dengan keberanian, belas kasihan dan dedikasi, mempamerkan standard tertinggi perkhidmatan awam.

“Kami semua berterima kasih kepada amat menghargai usaha anda.”

Sementara itu, Perdana Menteri Boris Johnson, yang dirawat akibat jangkitan Covid-19 tahun lalu, berkata beliau menyaksikan sendiri keberanian petugas kesihatan NHS.

“Saya tahu, seluruh rakyat UK bersama saya memberi penghargaan dan mengucapkan terima kasih untuk segala khidmat NHS untuk kami, tidak hanya sepanjang tahun lalu, malah sejak ia ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan UK sebelum ini dikritik kerana menawarkan kenaikan gaji hanya satu peratus kepada kakitangan NHS.

Badan profesional berulang kali memberi amaran berkenaan kesan mental yang teruk dan keletihan melampau dalam kalangan petugas NHS kibat pandemik.

Kolej Diraja Kejururawatan menggesa gaji kakitangan NHS dinaikkan sebanyak 12.5%, selain memberi amaran bahawa sejumlah besar jururawat mungkin meninggalkan perkhidmatan itu selepas pandemik berakhir. – AFP, 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen