Ada petanda Malaysia kini negara gagal, kata Kit Siang


Kegagalan pengurusan pandemik dan ketiadaan keterdesakan membuka semula Parlimen adalah petanda sebuah negara gagal, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

SEMAKIN banyak petanda Malaysia adalah sebuah negara gagal kerana tidak mampu mengurus pandemik Covid-19 dan tiadanya keterdesakan untuk mengadakan semula sidang Parlimen, kata Lim Kit Siang.

Wakil rakyat veteran DAP itu berkata banyak kegagalan kerajaan berlaku antaranya kekeliruan keutamaan negara dan kekurangan rasa keterdesakan ketika negara sedang berdepan krisis.

Tambahnya, jika situasi ini dibenarkan untuk terus berlaku, Malaysia akan mencapai sejuta kes Covid-19 dan 10,000 kematian menjelang Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

“Kes Covid-19 dijangka akan kekal dalam zon kes 6,000 untuk separuh pertama bulan Julai sedangkan Malaysia sepatutnya sudah memasuki transisi dari Fasa 1 ke Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara dengan mencapai kayu ukur kes kurang 4,000 pada akhir Jun.

“Ada benda yang sangat tak kena dengan perang Malaysia melawan pandemik Covid-19 apabila 2,374 kematian berlaku pada Jun di Malaysia, berbanding 358 kematian (atau 15% daripada 2,375 kematian di Malaysia) di United Kingdom pada Jun.

 “Inilah sebabnya mengapa perlu Parlimen bersidang serta merta (bagi membincangkan) pandemik Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia secepat mungkin,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan juga tidak ada rasa keterdesakan walaupun Malaysia kini berada di kedudukan ke-35 antara negara dunia dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 melebihi setengah juta dan lebih 5,000 korban.

Katanya lagi, berdasarkan kadar jangkitan Covid-19 dan jumlah kematian pada tiga hari pertama bulan Julai, Malaysia berkemungkinan besar akan mencapai sejuta kes Covid-19 dan 10,000 kematian ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64, 31 Ogos depan.

Angka itu akan terus meningkat, melepasi 1.2 juta kes dan 11,000 kematian pada 16 September 2021, Hari Malaysia ke-58, tambahnya.

“Dalam keadaan ini, apa gunanya untuk meraikan Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58?”

Katanya lagi, Malaysia juga menjadi salah sebuah negara dunia yang gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik, hanya empat negara lain merekodkan lebih 800,000 kes dan dua negara yang merekodkan lebih 900,000 kes.

“Jika kadar semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia tidak dikawal, kita akan menyertai ‘kelab negara sejuta’ dengan lebih sejuta kes Covid-19 untuk meraikan Hari Kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos 2021.”

Semalam, Malaysia melaporkan 6,658 kes baharu, menjadikan kes terkumpul sebanyak 772,607. 107 kematian dilaporkan semalam, meningkatkan jumlah korban wabak di negara ini kepada 5,434 orang.

Kes harian Covid-19 negara berlegar sekitar 5,000 dan 6,000 kes walaupun seluruh negara diletakkan di bawah sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu.

Kebanyakan kawasan di Lembah Klang juga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat yang bermula semalam. – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen