Varian Delta boleh cetus gelombang baharu di Malaysia, kata pakar


Varian Delta boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu di Malaysia, kata Profesor Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

VARIAN Delta Covid-19 yang lebih merbahaya boleh menjadi varian dominan dan mencetuskan gelombang jangkitan baharu, kata seorang pakar hari ini.

Pakar Epidemiologi Profesor Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya juga berkata pandemik tidak akan reda dalam masa terdekat kecuali langkah mitigasi diambil segera.

Tambahnya, wujud kemungkinan yang Lembah Klang memerlukan lebih banyak masa untuk pulih daripada pandemik.

“Kadar saringan positif yang tinggi menunjukkan berlaku penularan meluas dalam komuniti dan jumlah orang di bawah PKPD juga besar.

“Masalah dengan apa yang dipanggil ‘total lockdown’ bulan lepas ialah ia bukanlah ‘total’.

“Jika ia ‘total’, kadar jangkitan mungkin sudah turun sekarang, tetapi ia masih tinggi walaupun jumlah saringan dilakukan pihak berkuasa berkurangan,” katanya dipetik akhbar New Sunday Times.  

Dr Awang Bulgiba juga dipetik berkata yang penularan dalam komuniti akan terus berlaku disebabkan proses jejak kontak tidak dilakukan pada tahap optimum.

Tambahnya, peningkatan kes yang dilaporkan walaupun seluruh negara diletakkan dalam sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lepas menunjukkan penjejakan kontak pesakit dan strategi saringan massa tidak berkesan.

Beliau turut menyentuh soal pekeliling dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 13 Januari lalu yang menyebut proses penjejakan kontak hanya perlu dilakukan ke atas 10% kontak pesakit jika lebih 50 orang menjadi kontak rapat.

Tambahnya, individu juga hanya perlu menjalani kuarantin selama 10 hari dan tiada ujian kedua diperlukan.

“Varian terbaru dengan tempoh jangkitan lebih daripada 10 hari akan terus menular, sekiranya mereka yang mempunyai virus itu, tetapi diisytiharkan negatif selepas 10 hari dan bebas bergerak.

“Jadi jangkitan dalam komuniti akan terus meningkat dalam diam. Hanya tunggu masa sebelum terlalu banyak kes tanpa kaitan (sumber tidak diketahu) kembali naik.”

Beliau juga berkata sekatan pergerakan dalam bentuk perintah kawalan pergerakan diperketat yang dikenakan di kebanyakan kawasan Lembah Klang selama dua minggu tidak akan berkesan sekiranya tidak disertai dengan strategi pencegahan jangka panjang iaitu vaksinisasi.

Dr Awang Bulgiba juga dilaporkan berkata yang varian Delta dan Beta sudah mula menular dalam negara ini.

“Tiada ada keraguan yang penularan melalui udara benar-benar berlaku dalam pandemik ini.

“Ada kemungkinan yang varian Delta akan menggantikan varian lain seperti mana berlaku di negara lain. Ini memang sangat membimbangkan.”

Setakat 30 Jun, Malaysia melaporkan 40 kes varian Delta. Sehingga Sabtu, terdapat 217 kes varian dengan 198 kes varian membimbangkan (VOC) dan 19 kes varian diwaspadai (VOI). – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen