KESUKARAN akibat pandemik memaksa pengusaha pelancongan di Pulau Redang bertukar bidang dengan bertani untuk membolehkan mereka dapat terus hidup.
Selain untuk dijual, hasil tuaian itu juga dapat dimakan ketika sektor pelancongan lumpuh sama sekali, menurut seorang usahawan yang memiliki tapak perkhemahan seluas satu ekar.
Mohd Aziruddin Majid berkata walau tiada pengalaman, beliau terpaksa melakukannya demi kelangsungan beliau dan juga dua pekerja yang tidak dapat lagi dibayar gaji.
“Ini saja cara yang boleh saya fikir untuk kami terus bertahan, meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas kerana pandemik Covid-19.
“Kita tidak ada pilihan disebabkan hidup di pulau tidak seperti di darat, orang kata hidup di darat kos sara hidup makin meningkat.
“Tapi di pulau ini kos sara hidup bukan saja meningkat tapi berganda bagi kami, dan apabila pelancongan tutup kerana Covid-19, memang jadi masalah buat kami,” katanya.
Beliau yang ditemui The Malaysian Insight berkata, semua pengusaha pelancongan di pulau tersebut terjejas kerana langsung tidak dapat beroperasi pada tahun ini.
Namun pada masa sama, mereka tetap dibebani dengan kos sewa tanah, penyelenggaraan tempat tapak khemah, dan pinjaman bayaran peribadi bagi pembelian bot dan gaji pekerja.
Aziruddin, 36, berkata beliau terduduk ketika kerajaan mengumumkan PKP berkuatkuasa semula secara penuh pada Jun kerana mereka hanya dapat berniaga tiga bulan saja sebelum ini.
Sekatan rentas daerah yang masih berkuatkuasa sejak Syawal lalu juga menghalang pelancong tempatan dari negeri tersebut datang ke Pulau Redang, katanya.
“Jadi yang kita berniaga selama tiga bulan tahun lepas itu hanya mampu tanggung hutang dan kos saja, bila masuk PKP penuh ini kita memang tak tahu nak cari duit dari mana,” katanya.
Pelancongan sememangnya menjadi sektor kedua terpenting di negeri itu, yang teruk dibantai ekoran pelaksanaan PKP.
Pada 2009, negeri Pantai Timur itu menerima 5.25 juta pelancong, yang kemudian merosot kepada hanya 500,000 orang pada 2020 akibat penularan pandemik Covid-19.

Jual kereta antik untuk modal berkebun
Luah Aziruddin, beliau terpaksa menjual sebuah kereta antik miliknya dengan harga RM11,000 untuk mendapatkan modal memulakan projek tanamannya.
Pengusaha itu berkata beliau tidak mempunyai pilihan kerana tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.
“Saya tidak tahu pengusaha lain macam mana, tapi setakat ini kita memang tak ada terima bantuan langsung dari kerajaan.
“Dan kita sebenarnya tak naklah mengharap bantuan saja, mungkin kerajaan ada bagi tapi yang memerlukan bantuan juga ramai.
“Jadi saya fikir dengan menanam ini pun sebagai satu usaha bantuan yang bukan di bawah pelancongan,” katanya.
Aziruddin berkata beliau kini dalam usaha memohon geran pertanian Jabatan Pertanian bagi tapak perkhemahannya.
“Saya sangat berharap diluluskan. Sebab rancangan saya besar, kita nak buat tanam secara aquaponik pula selepas ini dan hendak hasilkan elektrik sendiri guna kaedah hidro termasuk sumber air pun kita akan buat sendiri.
“Rancangan selepas ini saya nak tawarkan konsep percutian seperti ekopelancongan, contoh pelancong datang sini dan mereka boleh masak daripada hasil tanaman di sini,” katanya.
Katanya, pada masa ini beliau dan pekerjanya berjaya menanam lebih 300 pokok sayuran seperti cili, terung dan bendi.
“Selain tanam sayuran, saya juga ada bela ikan air tawar seperti ikan talapia, puyu dan patin.
“Untuk hasil kita dah tuai lepas raya hari itu tapi tak jual. Sekarang ini hasil tuaian yang saya dapat kita tak jual dulu tapi digunakan untuk kegunaan harian.
“Maksudnya untuk kita makan hari-hari lah. Macam saya ada dua pekerja yang saya tak dapat bayar gaji tapi saya akan sediakan makanan untuk pekerja. Jadi dengan menanam ini boleh jimatkan kos kami di sini.”
Kebun atas bukit
Langkah sama dijalankan seorang pemilik restoran Marzuki Abdullah, yang mengusahakan kebun mini untuk menjana pendapatan sampingan selepas tidak lagi dapat beroperasi.
Anak jati Pulau Redang itu berkata beliau meraih hasil sekurang-kurangnya RM500 hingga RM600 dengan menjual cili kepada resort dan penduduk kampung pulau itu.
Beliau yang berbekalkan modal RM1,000 itu meraih hasil ketika harga pasaran cili di pulau meningkat naik antara RM24 hingga RM28 sekilo pada Hari Raya Aidilfitri.
“Sebenarnya sebelum PKP lagi saya dah mula menanam cili tapi tidak banyak. Saya mula memperbanyakkan tanaman dan menjual sejak bulan tiga tahun lepas.
“Harga cili di pulau sebenarnya sangat tinggi iaitu dalam sekitar RM18 sekilo biarpun harga pasaran di darat jatuh,” katanya.
Jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding pulangan daripada perniagaan asal restorannya, kata Marzuki, 45.
“Biarpun hasil jualan restoran saya boleh mencecah dalam RM100,000 setahun (semusim) sebelum ini dan sekarang ini saya cuma dapat RM500 hingga RM600 sekurang-kurangnya bolehlah membantu meringankan beban.
“Saya tidak tahu lagi bila boleh beroperasi memandangkan sasaran pasaran restoran saya banyak bergantung pelancong luar,” katanya

Marzuki berkata beliau turut merancang untuk mengembangkan perniagaan restorannya yang terletak di atas bukit itu dengan konsep “dari kebun ke pinggan”.
“Sekarang ini saya cuba untuk buat tanaman hidroponik. Apa yang saya nak buat selepas ini mungkin konsep dari kebun ke pinggan sebabkan tanaman sayuran saya semua ditanam secara organik tidak menggunakan racun sama sekali,” katanya.
Tanaman sayur seperti itu juga diusahakan seorang peniaga air kelapa, Wan Muhammad Ashraf Wan Suhaimi, yang terpaksa menutup perniagaan apabila tiada lagi pelancong.
Katanya, beliau mula mengusahakan kebun cilinya sejak Disember lepas untuk menyara keluarga dengan modal RM15,000 bagi menanam 400 pokok cili.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya kerana beliau terpaksa berdepan dengan kejatuhan harga cili di pasaran.
“Sasaran saya untuk jual di luar, jadi masa saya nak jual sebenarnya harga cili dah jatuh saya sempat jual dalam dua tiga kali dan selepas itu harga terus jatuh.
“Hendak dapat separuh daripada modal pun sebenarnya tak ada lagi,” kata Wan Muhammad, 32.
Beliau bagaimanapun tidak patah semangat dan menganggap ia sebagai pengajaran untuknya.
“Memang terasa rugi sebab perniagaan kita terjejas cuba jual cili pula harga pasaran jatuh, tapi saya akan anggap ia satu proses pembelajaran buat saya.
“Lagipun saya sebenarnya tak pernah menanam pun sepanjang hidup saya ini pertama kali saya cuba buat.
“Tapi saya tetap pilih cara macam ini sebab kalau tengok pulau ini pertanian sangat terpencil. Jadi saya berharap dapat membuka mata penduduk kampung mengenai bidang pertanian,” katanya. – 5 Julai, 2021.
Komen