Vaksin dulu, daftar kemudian di Sarawak berjaya, kata menteri


Desmond Davidson

Sarawak berjaya beri vaksin kepada penduduk di pedalaman dan luar bandar selepas guna pendekatan vaksin dulu, daftar kemudian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

PENDEKATAN vaksin dahulu, daftar kemudian berfungsi dengan baik di Sarawak dan merupakan kaedah terbaik untuk memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandarnya yang luas, kata pemimpin negeri.

Setakat 2 Julai, sebanyak 9.1% penduduk di Sarawak sudah menerima dua dos vaksin manakala 40.9% menerima satu suntikan.

Pemimpin negeri berpendapat angka itu mungkin lebih tinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan negeri, Dr Sim Kui Hian yang penasihat jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak berkata, beliau harus memeriksa jumlah yang tepat mereka yang diberi vaksin menerusi pendekatan ini, tetapi mengatakan ia cukup besar.

“Pastinya berjaya, kalau tidak kita tidak akan mempunyai ramai penduduk yang diberi vaksin di luar bandar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Di kawasan di mana perkhidmatan internet lemah atau sifar menjadikan pendaftaran wajib di MySejahtera atau melalaui laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) adalah mustahil, kaedah pen dan kertas terbukti lebih berkesan.

Vaksin dahulu, daftar kemudian dimulakan pada awal Jun selepas dakwaan organisasi masyarakat awam, Jawatankuasa Tindakan Perlindungan Baram (BPAC) yang mengatakan beberapa petani di penempatan terpencil Long San di pusat Baram diarah pulang sebaik tiba di pusat pemberian vaksin (PPV) di Baram kerana tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan.

Isu itu kemudian diselesaikan apabila Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata rakyat Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri masih boleh menerima suntikan vaksin sekiranya ketua kampung atau pemimpin masyarakat boleh mengesahkan penduduk masing-masing.

Dasar ini dipuji oleh ahli politik di kedua-dua belah bahagian politik.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk kita mencapai imuniti komuniti secepat mungkin,” kata Adun Bukit Assek, Irene Chang.

“Kita perlu masuk dan memberi vaksin kepada mereka terlebih dahulu kerana rumah panjang sudah menjadi permulaan banyak kluster,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Beliau berkata, jika penduduk pedalaman perlu mendaftarkan diri mereka di aplikasi MySejahtera sebelum mereka dapat divaksin, “pandemik ini tidak akan dapat dikawal”.

Chang mencadangkan kerajaan negeri dapat melaksanakan polisi berkenaan di kawasan bandar juga di mana beberapa penduduk masih berdepan masalah dengan MySejahtera.

Chang juga berkata ramai yang membuat aduan terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera apabila ada yang sudah mendaftar pada Februari masih belum menerima sebarang panggilan janji temu.

Sekiranya Sarawak mula melaksanakan proses sama di kawasan bandar dengan perkhidmatan internet yang buruk, ini pasti akan mempercepatkan proses vaksinasi, tambahnya. – 4 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen