Beberapa lokaliti di N Sembilan, Sabah, Kelantan, Pahang, Kedah dikenakan PKPD, kata Ismail Sabri


Beberapa lagi lokaliti di Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Pahang dan Kedah dikenakan PKPD berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2021.

KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lagi lokaliti di Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Pahang dan Kedah berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan di Taman Desaria, Seremban di Negeri Sembilan; serta Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK) di Kedah bermula 5 hingga 18 Julai.

PKPD bagi tempoh sama turut dilaksana di Taman Zifa, Bingkul, Beaufort dan Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah; serta Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

PKPD di Mukim Kuala Kuantan 2, Pahang pula akan dilaksanakan bermula esok (4 Julai) hingga 17 Julai.

Sementara itu, beliau berkata PKPD di Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan yang dijadual tamat esok, dilanjutkan sehingga 18 Julai.

Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu dan di Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot, Penampang dan Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah pula ditamatkan seperti dijadual esok (4 Julai).

Berhubung Op Benteng, beliau berkata 24 pendatang tanpa izin serta tiga kenderaan darat dirampas, manakala 711 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 672 individu dikompaun manakala 39 direman. – Bernama, 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen