KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan 107 kematian akibat Covid-19, kali kelima angka harian korban pandemik itu lebih 100 kes.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 5,434 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.
Angka harian kematian tertinggi direkodkan pada 2 Jun iaitu 126 kes.
Sebanyak 5,677 kes pulih dilaporkan hari ini, berbanding 6,658 jangkitan baharu, katanya.
Jumlah kes aktif kini mencecah 66,968, dengan 892 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi, turun sedikit berbanding 905 orang semalam.
Jumlah pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan pula seramai 443 orang.
Dr Noor Hisham juga berkata 14 daripada 107 kematian hari ini merupakan kematian sebelum tiba ke hospital (BID).
Mangsa termuda kes BID adalah lelaki berusia 27 tahun dari Melaka yang menghidap obesiti.
Mangsa tertua pula lelaki berusia 92 tahun yang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang. Beliau meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.
Selangor melaporkan angka kematian terbanyak hari ini iaitu 51 kes, diikuti Kuala Lumpur (21) dan Negeri Sembilan (11).
Manakala negeri-negeri lain Johor (6), masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang, Malacca (4), serta Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan masing-masing satu kes. – 3 Julai, 2021.

Komen