CHINA menghulurkan bantuan kepada lebih 150 buah negara dan 13 pertubuhan antarabangsa untuk memerangi wabak Covid-19, kata Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa China, Zhou Liujun.
Menurut Zhou, bantuan barang-barang keperluan memerangi wabak itu melibatkan kit ujian, pelitup muka, peralatan perlindungan diri, dan alat bantuan pernafasan.
Selepas vaksin buatan China diluluskan, di samping memenuhi keperluan domestik, China turut menyumbang vaksin kepada 88 negara membangun dan empat pertubuhan antarabangsa.
Menurutnya, vaksin adalah kaedah paling berkesan untuk memerangi wabak Covid-19.
China mempergiat kerjasama vaksin antarabangsa dan mendapat sambutan baik daripada kerajaan serta rakyat yang menerima bantuan.
Selepas tercetus wabak Covid-19 tahun lalu, China telah melaksanakan pelbagai bantuan kemanusiaan berskala besar dan paling banyak dalam sejarah negara ini.
Sokongan dan bantuan diberikan China kepada lebih 150 buah negara melibatkan bahan perubatan, penghantaran kumpulan pakar perubatan, mempercepat pembinaan infrastruktur kesihatan awam, menyokong platform dan institusi multilateral antarabangsa.
Di samping itu China turut membantu negara yang menghadapi masalah hutang dan semua usaha yang dilaksanakan ini mendapat pujian masyarakat antarabangsa, khususnya negara membangun. – Bernama, 3 Julai, 2021.
Komen