KADAR kebolehjangkitan Covid-19 Malaysia kini melepasi 1.07 semalam selepas menunjukkan trend peningkatan lapan hari berturut-turut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Twitternya.
Beliau melampirkan graf trend berkenaan, dengan nilai Rt 0.96 pada 25 Jun lalu.
Nilai Rt 1.0 dan ke atas bermakna penularan virus semakin pantas berlaku.
Semalam, Malaysia merekodkan 6,982 kes baharu Covid-19 dengan 73 kematian, menjadikan korban wabak negara kini mencecah 5,327.
Nilai Rt terbaru itu dikeluarkan pada hari sebahagian besar kawasan Lembah Klang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPP) yang bermula 3 hingga 16 Julai.
Kawasan lain seluruh negara pula masih diletakkan di bawah PKP yang sepatutnya berakhir pada 28 Jun tetapi kini dilanjutkan lagi.
Kes harian Covid-19 berlegar sekitar 7,000 pada awal Jun sebelum menurun kepada angka 5,000 kes pada pertengahan bulan.
Bagaimanapun, sejak 29 Jun lalu, ia kembali naik melepasi 6,000 kes sehari.
Ujian saringan yang dijalankan berjumlah sekitar 80,000 sehari dan kadar kebolehjangkitan kekal di atas 7%.
Petunjuk lain juga menunjukkan virus masih mengganas dengan 905 pesakit dirawat di unit rawatan rapi setakat semalam.
Jumlah kematian juga meningkat mendadak dalam tempoh yang singkat, dengan 1,290 orang terbunuh pada Mei dan 2,374 lagi pada Jun, berbanding 471 korban wabak sepanjang tahun 2020.
Pihak berkuasa berkata situasi ini berlaku kerana penularan varian Delta yang sangat mudah menular dan berjangkit. – 3 Julai, 2021.
Komen