JAWATANKUASA Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen akan bermesyuarat bulan ini bagi membincangkan pengurusan krisis Covid-19 negara dan program imunisasi kebangsaan, kata Pengerusinya Kelvin Yii.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata beliau akan memanggil mesyuarat itu untuk mematuhi titah Yang Di-Pertuan Agong pada 28 Julai lalu yang meminta Parlimen untuk bersidang supaya dapat menjalankan tugas semak imbang.
“Sebagai pengerusi jawatankuasa ini, saya bercadang untuk memanggil mesyuarat pada 23 Julai, Jumaat, jam 9.30 pagi, atau mana-mana tarikh lebih awal.
“Jawatankuasa akan (membincangkan isu semasa) dan membentangkan cadangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yii menambah yang mesyuarat itu akan diadakan dengan pematuhan kepada SOP Parlimen.
“Mesyuarat hibrid boleh diadakan selagi mana ia tidak melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” tambahnya.
Antara isu yang akan dibincangkan adalah trend kenaikan kes jangkitan dan kematian Covid-19 walaupun negara sudah diletakkan dalam sekatan pergerakan penuh sejak Jun lalu.
Yii berkata jawatankuasa juga akan membincangkan isu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dikuatkuasa di kebanyakan kawasan di Lembah Klang bermula 3 hingga 16 Julai.
Turut dibincangkan adalah varian Beta, Delta dan Alpha yang semakin menular dalam negara serta isu unit rawatan rapi yang kini sudah melebihi kapasitinya.
Semalam, Malaysia melaporkan 6,982 kes baru Covid-19 dengan 73 kematian, menjadikan jumlah korban wabak negara kini 5,327 orang, melebihi kematian di China, pusat meledaknya wabak tahun lepas. – 3 Julai, 2021.
Komen