JUMLAH kes aktif Covid-19 terus meningkat dengan pertambahan angka jangkitan baharu mengatasi kes pulih untuk sembilan hari berturut-turut, menurut Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes aktif kini mencecah 66,084 dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Seramai 905 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 443 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya dalam kenyataan.
Data terbaharu ini juga dikeluarkan ketika hospital kerajaan dilaporkan sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19.
Doktor di Hospital Kuala Lumpur dilaporkan media terpaksa menjalankan prosedur pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) di atas lantai, manakala Hospital Sungai Buloh juga sudah mencapai kapasiti maksimum serta tidak lagi menerima kes rujukan.
Kementerian Kesihatan hari turut melaporkan 73 kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak itu kini 5,327 orang.
Kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 64 warganegara dan sembilan warga asing, katanya.– 2 Julai, 2021.
Komen