6,982 kes baharu Covid-19, Selangor terus mendahului


Jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 765,949 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai 2021.

SEBANYAK 6,982 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan hampir 3,000 kes adalah dari Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 765,949 setakat ini.

Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 2,907 kes, diikuti Kuala Lumpur (637), Negeri Sembilan (606) dan Johor (517).

 Kes harian tetap tinggi walaupun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun lalu.

Sebahagian besar kes didominasi Lembah Klang yang akan dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok sebagai usaha kerejaan membendung pandemik tersebut.

Pendahulu carta, Selangor merekodkan jumlah kes harian tertinggi selama 71 hari berturut-turut.

Perlis adalah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes dalam tempoh 24 jam.

Dengan penambahan jangkitan baharu ini, kes kumulatif di Selangor berada pada 254,543, perbezaan yang besar berbanding Kuala Lumpur yang kedua dengan (79,303 kes) diikuti Johor di tempat ketiga dengan 71,611 kes.

Perlis adalah negeri angka kes Covid-19 terendah setakat ini dengan 595 kes.

Hari ini juga merupakan hari keempat berturut-turut negara melaporkan lebih 6,000 kes setiap hari. – 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen