Dana terhad, PKP berterusan jejas organisasi salur bantuan


Elill Easwaran Hailey Chung Wee Kye

Organisasi yang selama ini membantu kumpulan rentan kini berdepan masalah kewangan, menyukarkan usaha mereka untuk terus menyalurkan bantuan.

KEKURANGAN penderma ditambah pula dengan sekatan pergerakan berterusan mengakibatkan keluarga pelarian kian terhimpit manakala organisasi yang sepatutnya membantu mereka berdepan dengan masalah kewangan.

Pekerja bantuan memberitahu The Malaysian Insight, dana semakin berkurangan susulan peningkatan rayuan di kalangan pelarian untuk mendapatkan bantuan.

Beberapa pertubuhan seperti Alliance of Chin Refugees (ACR), terpaksa mengguna pakai sistem khusus bagi menapis mereka yang benar-benar layak menerima bantuan makanan.

Pengasas ACR James Bawi Thang Bik berkata mereka juga tidak menghebahkan mengenai bentuk bantuan dan pengagihannya bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita memilih kumpulan paling rentan untuk mendapat bantuan kerana pembiayaannya sangat terhad kali ini.

“Kami mengelakkan publisiti dalam menyebarkan bantuan untuk mengawal permintaan bantuan secara besar-besaran kerana kami tahu jika mereka sangat memerlukan, mereka akan menghubungi kami,” katanya, sambil menambah sumbangan menurun 60% sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang bermula pertengahan Mac tahun lalu.

Pasukan ACR melakukan penilaian kerentanan sebelum mengutamakan keluarga pelarian bagi memberi bantuan.

“Sekiranya boleh, kakitangan kami akan datang ke tempat mereka dan meninjau keadaan mereka.

“Ini sangat menyedihkan tetapi ia adalah penyelesaian terbaik kerana sumber kami sangat terhad,” katanya.

Pengasas ACR James Bawi Thang Bik berkata mereka juga tidak menghebahkan mengenai bentuk bantuan dan pengedarannya bagi memastikan mereka dapat menyalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2021.

Semua pekerja ACR adalah pelarian dan membantu 17 sub-komuniti berlainan di seluruh Malaysia.

James berkata, ACR sudah membantu sebanyak 121 keluarga dalam tempoh sebulan sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun lalu.

Pengasas Beyond Borders, Mahi Ramakrishnan berkata kekurangan penderma kini semakin meningkat kerana sudah menyumbang sejak tahun lalu.

“Penderma juga berasa bimbang dengan keadaan ekonomi dan sekatan berterusan,” kata Mahi.

Badan bukan kerajaan yang selalu membantu kumpulan rentan kini berdepan dengan masalah kewangan disebabkan kekurangan penderma dan sekatan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2021.

Beliau berkata kini terpaksa bergantung kepada rakan dan kenalan di Facebook bagi mengumpulkan bantuan makanan untuk komuniti terjejas.

Permintaan untuk makanan yang dimasak dan bekalan makanan naik lima kali ganda, tambahnya.

“Kami tidak menang tangan menerima panggilan telefon dan pesanan teks daripada pelarian serta pekerja migran.

“Sangat menyedihkan apabila mendengar mereka mengadu tidak makan beberapa hari atau tidak mempunyai susu untuk bayi mereka.”

Pelarian antara kumpulan rentan paling terus terjejas kerana PKP tidak berkesudahan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2021.

Beyond Borders beroperasi mengikut aturan siapa cepat, dia dapat.

“Kami mempunyai senarai tetapi ia tidak terpakai apabila mendapat panggilan daripada pemimpin masyarakat yang berkata ada individu kelaparan atau melibatkan warga emas dalam kesusahan,” kata Mahi.

Dignity for Children Foundation yang berpusat di Sentul, Kuala Lumpur mengutamakan keluarga pelarian dan kanak-kanak miskin bandar yang datang ke pusat pendidikannya.

Ketua pemasaran dan komunikasinya, Liew Tong Ngan berkata walaupun kumpulan itu menjadi keutamaan, mereka turut berusaha untuk menjangkau komuniti lebih luas.

“Kami meminta sumbangan daripada orang ramai, syarikat dan organisasi untuk menyokong usaha pengagihan kami,” kata Liew. – 4 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen