PERINTAH kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lima kawasan di Sabah, dua kawasan di Perak dan masing-masing satu kawasan di Pahang dan Melaka, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, PKPD dikawasan di negeri-negeri itu akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 3 hingga 16 Julai.
Dua PKPD di Sabah melibatkan dua kawasan di Tawau dengan 15 kes positif, Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu (17 kes), Kampung Lingkodon, Kota Belud (8 kes), Kampung Pintas Kubu, Beaufort (9 kes) dan Kampung Muhibbah, Putatan (12 kes).
Di Perak, PKPD akan dikuat kuasa di asrama pekerja Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan Latexx Village, Taiping dengan 237 kes positif dan di asrama pekerja di Latexx 3, Jalan IKA Industri Kamunting Aman, Kamunting dengan 213 kes.
PKPD di Pahang, akan dilaksanakan di Mukim Kuala Kuantan 1, wilayah Kuantan yang mencatatkan 369 kes positif, katanya.
Manakala PKPD di Melaka pula melibatkan Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah yang melaporkan 55 kes positif.
Ismail Sabri turut berkata PKPD di Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak dan asrama pekerja di Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat di Johor telah dilanjutkan untuk dua minggu lagi. – 1 Julai, 2021.
Komen