MEREKA yang telah mendapatkan suntikan pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca akan menerima dos kedua dalam empoh sembilan minggu, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, Putrajaya telah bersetuju memberikan tempoh sembilan minggu berbanding 12 minggu sebelum ini bagi vaksin jenis AstraZeneca.
Beliau berkata, keputusan ini dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Berdasarkan cadangan daripada Kumpulan Teknikal dan dengan kejelasan jadual pemberian, JKJAV telah memutuskan untuk memendekkan selang masa untuk AstraZeneca dari 12 minggu menjadi sembilan minggu.
“Mereka yang telah menerima suntikan pertama AstraZeneca akan diberitahu mengenai janji temu mereka untuk suntikan kedua nanti,” kata Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi dalam satu ciapan di Twitter.
JKJAV turut membuat pengumuman sama di Twitter hari ini.
“Janji temu dos kedua bagi mereka yang menerima vaksin pada inisiatif sukarelawan AstraZeneca pusingan pertama akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya melalui Twitter.
Awal hari ini, Khairy berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menerima sumbangan satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun.
Semalam, beliau berkata lebih 825,000 dos vaksin AstraZeneca telah diagihkan.
Vaksin ini pada awalnya ditawarkan sebagai pilihan setelah kontroversi mengenai risiko pembekuan darah, bagaimanapun kini ia digunakan dalam PICK setelah menerima permintaan tinggi. – 1 Julai, 2021.
Komen