SEKATAN pergerakan yang tak berpenghujung kini bukan lagi masalah buat pendandan dan tukang gunting rambut memandangkan industri itu telah kerugian lebih RM5 bilion sejak pandemik bermula.
Mereka salahkan kerajaan kerana benarkan kilang-kilang yang menjadi punca wujudnya banyak kluster Covid-19 itu beroperasi, sekali gus membuatkan pihak lain menanggung.
Presiden Gabungan Pendandan Rambut Malaysia dan Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) Michael Poh, pada sidang media dalam talian berkata, pengusaha kecil dan sederhana (PKS) seperti salun dan kedai gunting rambut tidak boleh bertahan lebih lama dalam keadaan sukar ini.
Katanya, industri pendandan rambut di Malaysia telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan sejak industri itu dibenarkan beroperasi semula pada 10 Jun 2020 malah tidak pernah mewujudkan sebarang kluster.
“Sebab utama tidak ada kluster kerana kami telah patuh semua SOP dengan sangat ketat.
“Malah kami telah tambah lebih banyak langkah keselamatan untuk kurangkan risiko penularan, contohnya dengan sanitasi pelanggan kami dari kepala sampai kaki sebelum mereka masuk salun.
“Kami telah buat satu set SOP terbaik untuk salun di seluruh dunia. Memandangkan kami telah buat dengan baik, tidak ada alasan untuk tutup periuk nasi kami,” kata Poh.
Katanya, setiap perniagaan itu penting, oleh itu kerajaan tidak sepatutnya hanya tumpu perhatian kepada industri pembuatan dan industri penting atau tidak penting sahaja.
Beliau menyarankan kerajaan membuka semua sektor dan menumpukan perhatian pada bidang-bidang yang telah menyebabkan wujudnya kluster.
“Sekat pergerakan di kawasan-kawasan tertentu selama dua minggu untuk basmi kuman dan buat sekatan pergerakan kendiri bagi tujuan mengesan dan bantu mereka semasa sekatan pergerakan. Biarkan sektor yang tidak terjejas menjalankan perniagaan seperti biasa dengan SOP yang ketat.
“Sebagai contoh, jika kilang, pusat beli-belah atau kawasan perumahan tertentu dijangkiti dan telah mewujudkan kluster, kawasan itu perlu ditutup.
“Jangan bagi mereka keluar, berikan makanan dan bantuan kewangan kepada mereka dan biarkan sektor dan kawasan lain beroperasi seperti biasa.
“Ini adalah salah satu penyelesaian terbaik untuk putuskan rantai (jangkitan), dan pada masa sama bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyelamatkan rakyat lain,” kata Poh.
Poh berkata industri pendandan rambut tidak boleh diabaikan hanya kerana dilihat sebagai tidak penting.
“Pendandan rambut adalah perkhidmatan penting kerana rambut yang panjang atau tidak kemas dapat mempengaruhi kehidupan seseorang secara fizikal dan emosi. Orang akan jadi tidak senang dan tertekan bila mereka tidak kelihatan baik atau tidak dapat uruskan rambut dengan betul.”
Pendandan rambut veteran dan penasihat MHA, Winnie Loo berkata, kurangnya kluster Covid-19 dari industri ini adalah bukti adanya SOP yang mantap.
“Tetapi apa yang telah dibuat kerajaan, adalah dengan menyekat kami. Bagaimana perasaan saya bila nampak menteri kita boleh buat rambut yang kemas, sedangkan pelanggan saya tidak boleh.”
Loo berkata, tidak adil pendandan rambut disuruh duduk di rumah ketika kluster yang wujud banyak dari sektor pembuatan.
“Lebih buruk lagi, kerajaan tak dengar walaupun kami telah kirim dua surat kepada Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Tetapi tidak ada yang berlaku.”
Sementara itu, perunding Apt Chain of Salons, Yeevon Teh, berkata industri pendandan rambut telah berhadapan lebih lima bulan sekatan pergerakan sejak 2020 dan ini telah menelan belanja lebih RM5 bilion.
“Saya harap kerajaan akan tengok kesusahan kami atau sekurang-kurangnya beritahu kami bila kami boleh beroperasi kembali.
“Benarkan kami buka semula dan buat undang-undang bebas sewa semasa PKP,” kata Teh.
The United Hairdressing Malaysia adalah gabungan yang terdiri daripada MHA, Persatuan Pendandan Rambut Bersatu Asia (UAHA), Bumiputra Hairdressing Association (BUHA), Malaysian Bumiputera Barber Association (MBBA), Hairdressing Skills Development Association, Malaysian Indian Hairstylist Empowerment Association, Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia and Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Kumpulan itu mendakwa mempunyai lebih 75,000 pendandan dan tukang gunting rambut sebagai anggota mereka dalam pelbagai persatuan itu. – 1 Julai, 2021.
Komen