Perselisihan mengenai kerusi luar bandar dalam pembangkang Sabah


Jason Santos

Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal berkata DAP negeri itu mahu bertanding di kerusi luar bandar yang sudah ditunutut oleh Warisan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

PERBEZAAN pendapat mula timbul dalam kerjasama antara parti pembangkang di Sabah berhubung pengagihan kerusi di bahagian dalaman. 

Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal berkata, DAP negeri berusaha untuk bertanding di kerusi itu walaupun ia telah dituntut Warisan 

“Saya boleh bekerja dengan DAP. Tetapi mereka perlu bekerjasama dengan kita jangan minta semuanya termasuk untuk kerusi di bahagian dalaman. 

“Kita perlu fikir sebaik mungkin kerana apa yang penting bagi kita ialah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” kata Shafie kepada lebih 2,000 penyokong yang hadir pada program Parti Warisan Sabah “Bicara Bersama Pemimpin” di Tuaran, Sabah hari ini.

Timbul khabar angin dalam parti pembangkang bahawa DAP Sabah menjadi punca perbalahan dalam perpaduan parti pembangkang di Sabah. 

DAP Sabah sebelum ini memegang hampir kesemua kerusi bandar dan kawasan populasi Cina seperti di Sandakan, Kota Kinabalu, Sri Tanjong  di Tawau dan Kepayan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Difahamkan, DAP cuba memperluaskan pengaruh di kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan penduduk pribumi menerusi kempen “Impian Sabah” dan merekrut Pengarah Sekretariat Jaringan Orang Asal Semalaysia (Jaos) Jannie Lasimbang.

Lasimbang dilantik sebagai ketua Wanita DAP Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, ketiadaan ahli dan pemimpin DAP Sabah di banyak acara Warisan dan Parti Cinta Sabah, mencadangkan parti nasional bertentangan dengan dua parti pembangkang negeri yang diketuai oleh Shafie dan Wilfred Bumburing.

Hanya ahli dan pengerusi PKR Sabah Christina Liew di lihat hadir pada program kedua-dua parti itu.

Warisan dan Parti Cinta Sabah turut hadir pada program yang dianjurkan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tanpa menamakan kerusi yang menjadi perebutan itu, Shafie bagaimanapun memberi jaminan “Mereka (DAP) akan sentiasa ada” dengan pembangkang.

Dalam perkembanan lain, Shafie mengulangi kenyataan beliau tidak akan menyertai pakatan Perikatan Sabah Bersatu (USA) dan menyatakan beliau amat akrab dengan pemimpinnya.

USA terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku yang diketuai oleh Dr Jeffrey Kitingan, Parti Harapan Rakyat Sabah diketuai oleh Lajim Ukin, Parti Maju Sabah yang diketuai oleh Yong Teck Lee dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah Datu Mohd Arshad Abdul Mualap.

“Saya dalam Umno sebelum ini…saya masih ingat ketika pilihan raya kecil Batu Sapi, saya dalam bilik mesyuarat dengan perdana menteri (Najib Razak) dan ketua menteri (Musa Aman).

“Najib meminta pandangan kami mengenai pesaing calon Barisan Nasional Linda Tsen, presiden SAPP Yong Teck Lee dan Musa berkata senang untuk tewaskan Yong,” katanya.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu dari PBS Edward Chong pada 2010.

Tse yang juga isteri kepada Chong memenangi kerusi itu menewaskan bekas ahli PKR Ansari Abdullah dan Yong. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen