Pusat beli-belah mohon lebih banyak premis dibenar beroperasi


Noel Achariam Elill Easwaran

Lebih banyak premis sepatitnya dibenarkan beroperasi kerana jutaan ringgit sudah dibelanjakan bagi memastikan pematuhan SOP, kata pengusaha.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

SELEPAS membelanjakan kos yang besar bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, lebih banyak premis perlu dibenarkan beroperasi, kata pengurus dan persatuan pusat beli-belah.

Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Teo Chiang Kok berkata tiada sebab untuk premis tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan sekiranya SOP dikuatkuasakan.

Pemilik pusat membeli-belah membelanjakan jutaan ringgit bagi memastikan premis mereka mempunyai kakitangan keselamatan dan teknikal yang cukup, pembasmi kuman, peralatan pembersihan, peralatan daftar masuk dan keperluan lain untuk memastikan keselamatan pengunjung, katanya.

Pusat membeli-belah turut mematuhi prosedur untuk menyemak status risiko orang ramai menerusi aplikasi MySejahtera mereka sebelum dibenarkan masuk.

Dengan semua langkah keselamatan ini katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membenarkan lebih banyak premis dibuka semula bagi menyeimbangkan kehidupan dan sumber pendapatan.

“Bagi tenaga kerja, kakitangan keselamatan ditempatkan di setiap pintu masuk, menyebabkan peningkatan kos upah.

“Terdapat juga kos peralatan seperti pembaca suhu, pembasmi kuman di kawasan-kawasan yang kerap disentuh, dan penapis gred hospital di peralatan pendingin hawa,” kata Teo kepada The Malaysian Insight.

Satu lagi langkah yang diambil pihak pengurusan pusat membeli-belah adalah menubuhkan “duta SOP” yang akan melakukan rondaan di seluruh premis bagi memastikan penjarakan sosial diamalkan, tambahnya.

Dibawa PKP terkini yang bermula 1 Jun, semua premis perniagaan tidak penting di pusat membeli-belah ditutup dan hanya premis makanan, barangan runcit dan penting sahaja dibenarkan beroperasi.

PKP yang berakhir pada 28 Jun lalu, dilanjutkan selepas usaha kerajaan untuk melonggarkan sekatan pergerakan masih belum tercapai. Ini termasuk penurunan jumlah kes Covid-19 kepada bawah 4,000 dan 10% penduduk melengkapkan dua dos vaksin. Setakat 30 Jun, hanya 7% penduduk melengkapkan dua dos vaksin.  

Kos pematuhan

Teo berkata pengurusan pusat membeli-belah membelanjakan banyak wang untuk memenuhi keperluan ini dan jumlah sebenar tidak dapat diberikan kerana jumlahnya bergantung kepada saiz pusat membeli-belah.

Namun katanya setahun selepas pandemik, kosnya semakin tinggi berikutan langkah seperti pembersihan, sanitasi dan penyelenggaraan peralatan dan mesin bagi memastikan pengaliran udara dalam bangunan merupakan kos berterusan.

Jurucakap Sunway Mall berkata sejak PKP pertama tahun lalu, mereka membelanjakan lebih RM2 juta untuk mematuhi SOP tujuh pusat membeli-belah di bawah kumpulan Sunway.

“Perbelanjaan tertinggi dilakukan sebelum ini apabila pelaburan terpaksa dibuat untuk peralatan keselamatan dan persediaan pembersihan, sekitar RM2 juta.

“Ini termasuk pengimbas suhu berketepatan tinggi, semburan kabur, peralatan sanitasi, inisiatif penjarakan sosial dan lain-lain.

“Perbelanjaan modal ini adalah pengeluaran kos yang lebih tinggi pada awalnya. Selepas itu, lebih banyak perbelanjaan operasi bulanan untuk memastikan SOP dipatuhi,” kata kakitangan tersebut yang enggan identitinya didedahkan kerana tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan media.

Bagi perbelanjaan bulanan untuk SOP pusat membeli-belah, jurucakap itu mengatakan bahawa ia berbeza bergantung pada ukuran dan operasi premis.

Beliau juga berkata Sunway Mall telah menetapkan prosedur yang lebih ketat semasa memasuki pusat membeli-belah mereka, seperti memeriksa status pengunjung di MySejahtera.

“Sebelumnya, penekanan difokuskan untuk memastikan check-in melalui MySejahtera, sekarang langkah tambahan diambil untuk memeriksa status risiko terlebih dahulu.

“Untuk Sunway Mall, kami pamerkan di semua pintu masuk kategori risiko yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan masuk.

“Tambahan ini bagi mematuhi SOP yang diperkenalkan kerajaan dari semasa ke semasa.” – 1 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen