Bangladesh laksana sekatan lebih ketat


Seorang pengawal keselamatan berdiri di depan Kompleks Beli-belah Bashundhara City yang ditutup semasa hari pertama perintah sekatan di Dhaka, Bangladesh. – Gambar EPA, 1 Julai, 2021.

BANGLADESH memasuki perintah sekatan Covid-19 yang ketat hari ini, dengan tentera dan polis mengarahkan penduduk meninggalkan kediaman kecuali kecemasan atau membeli barang keperluan.

Kerajaan berkata ia menyaksikan peningkatan kes “membimbangkan dan berbahaya”, yang didakwa berpunca daripada varian Delta yang mudah menular.

Hospital sedang bergelut dengan pesakit terutama di kawasan yang bersempadan dengan India di mana strain pertama kali dikesan. Sesetengah bandar di luar bandar mencatatkan kadar jangkitan sebanyak 70%.

Pengumuman sekatan minggu lalu menyebabkan ramai pekerja migran keluar dari Dhaka, dengan ribuan orang menaiki feri sesak yang berbahaya.

Ketua polis Dhaka memberitahu wartawan mulai hari ini sesiapa yang meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah akan dikenakan denda dan mungkin ditangkap.

“Jika kami perlu memfailkan 5,000 kes dan tangkapan sehari, kita akan melakukannya,” kata Shafiqul Islam pada sidang media.

Kerajaan turut mengerahkan tentera dan polis sempadan. Semua pejabat dan kedai akan ditutup dengan hanya pasar makanan tempatan dibenarkan dibuka selama beberapa jam sehari.

“Kami berharap langkah ketat ini akan berjaya. Kita harus membendung virus ini,” kata jurucakap jabatan kesihatan Robed Amin kepada AFP.

Tetapi Sagar, seorang penjual makanan jalanan berusia 18 tahun di Dhaka, meluahkan kemarahan.

“Kerajaan melaksanakan sekatan hanya untuk membunuh orang miskin. Kami tidak ada kerja, tiada sesiapa yang membantu,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, kilang pakaian yang membekalkan syarikat gergasi Barat seperti H&M dan Walmart dibenarkan beroperasi. 

Sektor ini merupakan pengeksport utama tetapi menghadapi saingan sengit dari China dan Vietnam. – AFP, 1 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen