Lebih 8 juta dos vaksin Covid-19 diberi setakat semalam, kata JKJAV


Lebih lapan juta dos vaksin sudah diagihkan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata JKJAV.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

LEBIH lapan juta dos vaksin sudah diagihkan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat ini selepas 258,773 dos diberikan semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Jawatankuasa itu memaklumkan sebanyak 163,756 dos pertama diberi, manakala dos kedua sebanyak 95,017, sekaligus menjadikan jumlah dos yang diberi setakat jam 11.59 malam 30 Jun adalah sebanyak 8.08 juta.

JKJAV juga berkata daripada jumlah tersebut, seramai 2.30 juta individu atau 7.1% populasi negara ini lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 5.77 juta atau 17.71% populasi baru menerima satu dos.

Putrajaya merekodkan angka tertinggi dengan 25% penduduk sudah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 21 Jun berkata kerajaan mensasarkan 10% daripada populasi negara divaksin sepenuhnya menjelang pertengahan Julai ini.

“Ketika ini, bagi setiap 100 dos diberikan, 30 dos adalah dos kedua. Bagi memastikan 10% daripada populasi atau 3.2 juta penduduk menerima imunisasi, kita perlu memberikan vaksin terhadap 10.7 juta dos,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya. – 1 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen