Operator sukan dan rekreasi gesa dibenar beroperasi elak gulung tikar


Ravin Palanisamy

Larangan pusat sukan dan rekresasi dibuka semasa sekatan pergerakan bagi membendung wabak menyebabkan perniagaan sukar bertahan, kata pengusaha dan operator.– Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

SELAIN industri pelancongan dan penerbangan, sektor sukan dan rekreasi juga tidak terkecuali menerima kesan teruk akibat pandemik Covid-19, kata pengusaha dan operator.

Larangan pusat sukan dan rekresasi dibuka semasa sekatan pergerakan bagi membendung wabak menyebabkan perniagaan sukar bertahan, tambah mereka, sambil menggesa kerajaan memberi kebenaran untuk beroperasi.

Operator futsal, padang bola dan gimnasium berkata lebih lama mereka dilaranga beroperasi tidak mustahil perniagaan akan gulung tikar. 

Keputusan kerajaan membuka sektor ekonomi yang menjadi penyumbang terbanyak kes Covid-19 juga dipersoalkan. Mengapa pula pusat sukan dan rekreasi yang bukan kawasan panas penularan Covid-19 diarah tutup, soal mereka.

Shazwan Wong, pengurus besar Maxim Profile Sdn Bhd, iaitu syarikat yang menguruskan lapan padang bola di sekitar Lembah Klang, berkata perniagaan mereka teruk terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah itu katanya, ibarat “menabur garam pada luka” kerana syarikat masih belum sempat pulih dari kesan pandemik.

Tambahnya, perniagaan mereka mengalami kerugian besar kerana dapat beroperasi hanya selama lapan bulan sejak tahun lepas sehinggalah PKP dikuatkuasakan 1 Jun lalu.

“Tahun lepas kami dapat beroperasi selama lima bulan, dan dalam tahun ini cuma dua setengah bulan. Lebih kurang lapan bulan.

“Secara purata, kami rugi kira-kira RM50,000 sebulan bagi setiap padang. Jadi, kami rugi sekitar RM400,000 bagi semua lapan padang.

“Itu tidak termasuk kos bulanan seperti gaji, sewa, utiliti da lain-lain. Kami belum sempat pulih dari PKP tahun lepas, sekarang kena PKP lagi,” kata Wong, 44, kepada The Malaysian Insight.

Ebenazer Lasal, pengarah Republic of Futsal Petaling Jaya, syarikat pengendali gelanggang futsal di Selangor, juga senada dengan Shazwan.

“Secara keseluruhannya, tidak sampai enam bulan pun kami dapat beroperasi.

“Lebih lama kami dilarang beroperasi bermakna banyak pusat sukat dan gimnasium terpaksa gulung tikar,” katanya.

Pengarah Republic of Futsal Petaling Jaya Ebenazer Lasal. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

Sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi digantung sementara semasa PKP, kecuali untuk aktiviti berjoging dan bersenam di kawasan kejiranan tempat tinggal sendiri. 

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat fasa pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19. 

Empat fasa itu ditandai dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid1-9.

Fasa pertama akan beralih ke fasa kedua apabila purata kes harian Covid-19 kurang daripada  4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa kedua berakhir diganti dengan fasa ketiga apabila purata kes harian turun ke paras bawah 2,000, yang  dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini sementara fasa keempat dijangka berlaku seawal akhir Oktober 2021. – 1 Julai, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen