Beri keutamaan suntikan vaksin Covid-19 kepada petani juga, kata Adun


Golongan petani perlu diberi keutamaan mendapat vaksin Covid-19 bagi mengelakkan bekalan makanan negara terjejas sekiranya mereka dijangkiti virus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.

GOLONGAN petani sepatutnya juga diberi keutamaan mendapatkan vaksinasi Covid-19 agar mereka boleh meneruskan tugas penting tanpa perlu bimbang dijangkiti virus, kata Adun Tanah Rata hari ini.

Chiong Yoke Kong, wakil rakyat dari Cameron Highlands yang membekalkan sayur-sayuran untuk negara berkata mereka juga penting bagi memastikan negara tidak mengalami kekurangan bekalan makanan akibat wabak Covid-19.

“Memandangkan pertanian adalah sektor penting yang menghasilkan makanan, petani masih perlu bekerja seperti biasa ketika pandemik semakin menjadi-jadi, dan dengan demikian risiko terkena Covid-19 lebih tinggi.

“Oleh itu, kerajaan patut melancarkan program vaksinasi dan mempercepatkan vaksinasi untuk petani, dengan memasukkan sektor pertanian ke dalam Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

“Dengan inisiatif itu, kerajaan boleh memastikan sektor pertanian dapat beroperasi tanpa gangguan dan mencegah kekurangan makanan yang akan menyebabkan gelombang kejutan melalui pasar pengguna,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertanian sudah berjanji untuk membawa isu ini ke Kabinet tetapi tiada sebarang berita mengenainya lagi.

Katanya, Putrajaya mesti melayan sektor perkilangan dan pertanian sama rata dan bukannya menganggap nyawa petani sebagai tidak berharga.

Ini merujuk kepada program kerajaan yang memberi keutamaan kepada mereka yang terlibat dalam sektor pembuatan melalui Pikas.

Chiong juga meluahkan kekecewaan dengan pendekatan kerajaan dalam menangani jangkitan virus di Cameron Highlands, terutama dalam kluster Kailan Tringkap yang melibatkan petani dan pekerja mereka.

Setakat ini, jumlah kes yang disahkan dalam kluster ini sebanyak 117, dengan populasi kurang 2,000. – 1 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen