KES aktif Covid-19 meningkat kepada 64,129 hari ini berbanding 62,844 semalam apabila kes baharu Covid-19 melebihi jumlah kes pulih.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 6,276 kes baharu dan 4,929 kes pulih yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Sebanyak 16 kes import dilaporkan sementara selebihnya jangkitan tempatan.
Dengan ini jumlah keseluruhan pesakit pulih adalah sebanyak 682,680 sementara jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 751,979.
Sementara itu, jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tidak berubah iaitu seramai 905 pesakit di mana daripada jumlah itu, 452 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 62 kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 5,170 orang.
Mangsa tertua yang meninggal dunia akibat koronavirus hari ini adalah seorang wanita berusia 104 tahun dan mempunyai sejarah tekanan darah.
Mangsa termuda merupakan seorang wanita berusia 32 tahun yang meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Dia mempunyai sejarah diabetes, asma dan obesiti.
Selain itu terdapat tujuh kes meninggal dunia di luar hospital dilaporkan hari ini.
Selangor terus mencatat jumlah kematian harian tertinggi dengan 22 kes diikuti oleh Melaka dengan tujuh kes, Kuala Lumpur dengan lima kes dan Johor empat kes.
Sabah dan Pahang masing-masing melaporkan tiga kematian, Kelantan, Perak, Kedah dan Labuan pula masing-masing melaporkan dua kematian.
Sarawak melaporkan satu kematian. – 30 Jun, 2021.
Komen