Selangor sedia 2 juta dos vaksin untuk pekerja, umum Menteri Besar


Vaksin kepada pekerja kilang dan industri diharap akan dapat mengawal dan mengurangkan kadar penularan Covid-19, sekali gus melindungi semua pihak, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Gambar EPA, 30 Jun, 2021.

SELANGOR menyediakan dua juta dos vaksin Covid-19 untuk sejuta pekerja termasuk warga asing melalui program imunisasi yang dijalankan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Usaha itu dibuat ketika majoriti kes jangkitan pandemik di negeri itu datangnya daripada kluster pekerja, jelasnya.

“Mengikut angka dan data terkini, 91% kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan, iaitu 80% kluster perkilangan dan 11% kluster tapak bina, bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini.

“Memandangkan situasi ini, kerajaan negeri turut menyediakan 2 juta dos vaksin bersamaan 1 juta pekerja, termasuk pekerja asing, dalam usaha melindungi kita semua daripada penularan wabak ini,” katanya, semasa melancarkan program Vaksin Selangor (SelVAX) hari ini.

Dua juta dos itu ditetapkan bagi program SelVAX untuk industri, jelasnya.

Menurut Amirudin, vaksin kepada pekerja kilang dan industri diharap akan dapat mengawal dan mengurangkan kadar perebakan Covid-19, dan secara tidak langsung melindungi semua pihak.

“Walau bagaimanapun, SelVAX Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu,” katanya.

Dua juta dos itu adalah sebahagian daripada 2.5 juta yang ditempah oleh Selangor, melalui perjanjian antara Pharmaniaga Berhad dengan Selgate Healthcare, anak syarikat kerajaan negeri yang mengendalikan skim insurans kesihatan dan 16 klinik di Lembah Klang.

Bekalan vaksin jenis Sinovac itu dijangka akan dapat disuntik kepada 1.25 juta orang penduduk negeri, tambahnya.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga menyediakan 500,000 dos vaksin percuma untuk warga emas dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) melalui program SelVAX Komuniti.

Vaksin untuk 250,000 penduduk Selangor itu juga disasarkan khas kepada penerima beberapa skim bantuan kebajikan dan kesihatan sedia ada yang diberikan oleh kerajaan negeri, katanya.

Beliau yakin 180,000 daripada dos yang diperuntukkan itu dapat disuntik sebelum akhir Julai ini.

SelVAX adalah inisiatif kerajaan negeri Selangor yang menampung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kurang bekalan di negeri itu.

Amirudin yakin program itu akan dapat menambah sehingga 43,500 dos vaksin sehari di Selangor, yang seterusnya mempercepatkan sasaran imuniti kelompok di negeri itu.

“Usaha ini dijangkakan menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu yang signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran vaksinasi 80% daripada populasi dewasa di Selangor selesai pada Oktober 2021,” katanya. – 30 Jun, 2021.

Dua juta dos itu adalah sebahagian daripada 2.5 juta yang ditempah oleh Selangor, melalui perjanjian antara Pharmaniaga Berhad dengan Selgate Healthcare, anak syarikat kerajaan negeri yang mengendalikan skim insurans kesihatan dan 16 klinik di Lembah Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen