SIKAP pilih kasih oleh pemimpin negara ketika mematuhi peraturan bagi mengekang wabak Covid-19 akan menyebabkan hilangnya sokongan rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini semasa mesyuarat hibrid Persidangan Kepimpinan Asia 2021.
“Sikap pilih kasih perlu dielakkan seboleh mungkin kerana peraturan dan prosedur ini banyak menuntut daripada rakyat dan jika mereka berasa ia hanya untuk mereka dan bukannya golongan berkuasa atau elit, usaha pelaksanaan undang-undang dan peraturan akan ditentang jika mereka tidak melakukan protes secara mutlak.
“Sepatutnya semasa krisis, kita tidak boleh ada satu set peraturan untuk sesetengah masyarakat dan satu lagi untuk yang lain,” kata bekas perdana menteri itu, sambil menambah perlu ada kepemimpinan melalui tauladan.
“Jika sejak awal, kepemimpinan tidak dapat meyakinkan masyarakat yang pemantauan undang-undang, peraturan dan SOP sangat penting dalam mengurangi krisis, maka walau apa pun strategi dan langkah seterusnya yang diperkenalkan dan diambil, tidak akan berjalan lancar, sebaliknya akan gagal,” katanya pada persidangan mengenai nilai kepemimpinan semasa pandemik Covid-19.
Dr Mahathir berkata walaupun beliau bercakap mengenai senario domestik, nilai yang sama terpakai kepada semua kepemimpinan global dalam mengatasi wabak tersebut.
Di Malaysia, rakyat meluahkan rasa marah menggunakan media sosial kerana pelanggaran SOP oleh ahli politik parti kerajaan, yang terbaharu adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan yang dilihat dalam gambar dan klip video menghadiri jamuan durian dengan beberapa individu.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed juga dilihat dalam gambar makan di sebuah kafe di kawasannya di Jeli, Kelantan. Beliau sedang disiasat oleh polis.
Dr Mahathir dalam ucapannya hari ini menamakan cabaran lain bagi semua pemimpin dalam menangani wabak tersebut, iaitu menyeimbangkan isu hak individu terhadap kesejahteraan kolektif, seperti usaha memvaksinasi sebanyak mungkin rakyat ketika penentangan oleh antivaksin.
Beliau juga berkata wabak itu adalah masa untuk solidariti dan pemimpin negara lebih kaya dan kuat perlu membantu negara yang lebih lemah dan miskin. – 30 Jun, 2021.
Berita penuh di sini
Komen