Adakah sekatan penuh gagal juga, tanya Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak berpandangan kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 dengan baik biarpun melaksanakan sekatan penuh pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

SEMUA petunjuk yang ditetapkan oleh Putrajaya untuk melonggarkan kegiatan ekonomi dan sosial di tengah pandemik Covid-19 sedang menunjukkan trend meningkat, kata Najib Razak, yang berpandangan kerajaan telah gagal dalam usahanya biarpun melaksanakan sekatan penuh pergerakan.

Bekas perdana menteri juga berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 juga meningkat, seperti yang diumum oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah awal hari ini.

“Adakah total lockdown (sekatan pergerakan penuh) yang sudah sebulan lamanya turut gagal?

“Pagi ini, Kementerian Kesihatan umum kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt telah naik ke 1.04 setelah dalam trend menaik sejak 2 minggu lepas. Kadar ke atas paras neutral 1.0, bermakna kes baru dalam trend meningkat dengan pesat.

“Kes baharu juga naik semula ke atas paras 6,000 kes semalam,” tulis Najib.

Semalam, kes baharu jangkitan Covid-19 harian melonjak melebihi 6,000 selepas enam hari berturut-turut berlegar dalam lingkungan lebih 5,000 kes.

Malaysia kali terakhir mengesan kes harian melebihi 6,000 pada 18 Jun, ketika Kementerian Kesihatan merekodkan 6,440 kes baharu.

Kes baharu yang diumum semalam ialah 6,437, daripada 68,052 orang yang disaring. 

Ini menjadikan kadar jangkitan sebanyak 9.46%, yang tertinggi pada Jun, kata Najib.

“Adakah kerajaan sedar bahawa ketiga-tiga petunjuk utama, iaitu kes baharu, kadar kebolehjangkitan dan kadar positif, sedang berada dalam trend menaik?

“Jadi, apakah peluang bagi kes jatuh ke bawah 4,000 untuk 7 hari berturut supaya negara boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan dalam masa terdekat?” tanya Najib.

Menurut Najib, kerajaan sudah gagal mengekang Covid-19 ketika ia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. 

“Adakah total lockdown juga akan gagal? Berapa kali mahu gagal?” tanyanya lagi.

Majlis Keselamatan Negara mengenakan sekatan penuh pergerakan sejak 1 Jun lalu, yang menyekat sektor ekonomi dan perkhidmatan tidak perlu. 

Pada 15 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara untuk keluar daripada pandemik, yang menetapkan empat fasa berdasarkan keadaan semasa jangkitan dan vaksinasi.

Peralihan fasa pelan pemulihan ditentukan dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19.

Fasa pertama akan beralih ke fasa kedua apabila purata kes harian Covid-19 kurang daripada  4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa kedua berakhir diganti dengan fasa ketiga apabila purata kes harian turun ke paras bawah 2,000, yang  dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini sementara fasa keempat dijangka berlaku seawal akhir Oktober 2021.

Muhyiddin pada hujung minggu berkata perintah kawalan pergerakan dilanjutkan dan ditentukan bukan lagi mengikut masa tetapi tiga petunjuk tersebut. – 30 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen