SOP semua negeri sama, kata Ismail Sabri


Berikutan kenyataan dan pelaksanaan tidak selaras mengenai boleh atau tidak pelanggan makan di tempat, pengusaha kedai makan di Kota Kinabalu bingung, malah ada yang diberi amaran oleh pihak berkuasa supaya tidak buka meja dan terima pelanggan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Jun, 2021.

SEMUA negeri mesti melaksanakan peraturan sekatan pergerakan (SOP) yang sama, yang digubal oleh Majlis Keselamatan Negara untuk membendung Covid-19, dan tidak boleh membuat peraturan sendiri, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Negeri-negeri boleh memperketatkan peraturan yang ditetapkan oleh MKN tetapi tidak boleh melonggarkannya, katanya, selepas Sabah membenarkan makan di tempat dan beberapa kelonggaran lain bermula hari ini.

“Negeri mesti sama dengan SOP yang ditetapkan MKN. Sabah pun mesti sama dan tak boleh berbeza sedangkan negeri lain ikut SOP,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

Jelas Ismail, negeri boleh berbeza peraturan sekiranya peraturan khas bagi negeri itu lebih ketat.

“Contoh, kedai makan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam. Jika kerajaan negeri hendak menetapkan ia hanya beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam kita akan benarkan, tetapi jika kerajaan negeri benarkan operasi hingga 12 tengah malam ini tidak boleh,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor semalam mengumumkan kelonggaran beberapa kegiatan sosial dan ekonomi namun mengekalkan sebahagian besar sekatan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Antara yang dilonggarkan ialah makan di tempat di restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, perniagaan gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya serta kedai gunting rambut.

Sabah melarang makan di tempat sejak 29 Mei selepas kes jangkitan Covid-19 di negeri itu meningkat tinggi. Larangan itu diteruskan apabila sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan di seluruh negara bermula pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sekarang, makan di tempat hanya dibenarkan semasa fasa kedua pelan pemulihan sementara kedai gunting rambut boleh dibuka semasa fasa ketiga.

Sabah juga membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal, kata Hajiji.

Pada masa sama, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, serta kilang berasaskan kayu dan perabot, tambahnya.

“Perincian SOP Negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya, semalam.

Peralihan fasa pelan pemulihan ditentukan dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, pengusaha kedai makan di Kota Kinabalu hari ini mengadu diberi amaran oleh pihak berkuasa untuk tidak buka meja dan menerima pelanggan makan di tempat. – 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen