MAJLIS Keselamatan Negara sedang menimbang untuk memberi kelonggaran sekatan pergerakan kepada negeri yang rendah kes jangkitan Covid-19, kata Menteri Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, kelonggaran itu akan dipertimbangkan mengambil kira kadar jangkitan berbanding jumlah penduduk.
Beliau mengakui kayu ukur nilai ambang yang dipakai untuk seluruh negara pada masa ini tidak adil bagi sesetengah negeri seperti Perlis, yang kini mempunyai 26 kes aktif dan tiada jangkitan baharu setakat hari ini.
“Kita cadangkan nilai ambang peringkat nasional, tetapi ada yang berpendapat ini tidak adil bagi negeri seperti Perlis yang hanya merekodkan kes satu digit sehari kerana mereka tidak boleh (beralih) dari Fasa Satu (Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara) kerana terpaksa mengikut nilai ambang peringkat nasional.
“Jadi semalam kita bincang, kita bincang dari segi nilai ambang ini.
“Insya-Allah, kita akan perincikan dan bila sampai masa, kita akan umum, mungkin negeri akan gunakan jumlah kes per 100,000 penduduk jadi ia lebih adil kepada semua,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Semalam, Menteri Besar Perlis Azlan Man memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kelonggaran kepada Perlis beralih daripada Fasa 1 pelan pemulihan terus masuk ke Fasa 3, yang memberi lebih banyak kelonggaran kepada sektor ekonomi dan kegiatan sosial.
Permohonan itu bagaimanapun ditolak, kata Azlan, dalam satu kenyataan di Facebook.
“Malangnya setelah perbincangan yang panjang, mesyuarat tidak meluluskan cadangan itu.
“Salah satu sebabnya ialah Perlis belum lagi mencapai 40% kadar vaksinasi di kalangan 80% penduduknya yang telah berdaftar dengan sistem MySejahtera untuk disuntik vaksin,” kata Azlan.
Peralihan fasa pelan pemulihan ditentukan dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hujung minggu berkata perintah kawalan pergerakan dilanjutkan dan ditentukan bukan lagi mengikut masa tetapi tiga petunjuk tersebut.
Fasa pertama akan beralih ke fasa kedua apabila purata kes harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Fasa kedua berakhir diganti dengan fasa ketiga apabila purata kes harian turun ke paras bawah 2,000, yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini sementara fasa keempat dijangka berlaku seawal akhir Oktober 2021. – 29 Jun, 2021.
Komen