PROGRAM vaksinasi pantas dan sekatan pergerakan bersasar secara agresif adalah penyelesaian terbaik bagi menurunkan jumlah kes Covid-19 di bawah 4,000 kes setiap hari, kata dua pakar kesihatan.
Program vaksinasi harus giat dijalankan di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat Covid-19, kata mereka.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, program vaksinasi semasa dilihat semakin perlahan pada hujung minggu.
“Percepatkan vaksinasi. Pada hari Ahad, jumlah di bawah 200,000. Apa yang terjadi? Adakah kita berehat pada hujung minggu?
“Virus tidak berhenti pada hujung minggu. Kita perlu memberikan lebih 200,000 suntikan setiap hari,” kata Dr Lee.
Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, penambahbaikan akan dapat dilihat sekiranya program vaksinasi dilakukan secara konsisten dan dilakukan dengan segera.
Ahli Parlimen PKR itu menambah, kerajaan mesti mengutamakan bekalan vaksin di Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur.
“Negeri-negeri ini mempunyai populasi yang tinggi dan jumlah kes tinggi. Bekalan vaksin sepatutnya mencukupi.
“Di Selangor tidak mencukupi. Jangkitan tinggi di Selangor,” katanya.
Pada Ahad, jumlah dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menurun kepada 168,956 daripada 187,877 dos pada Sabtu lepas.
Semalam, negara menyaksikan peningkatan jumlah vaksin yang diberikan di mana sejumlah 197,274 suntikan diberi.
Antara 1 dan 25 Jun, Malaysia sudah mengeluarkan lebih 200,000 suntikan setiap hari. Namun sasaran itu belum tercapai dalam beberapa hari terakhir. – 29 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen