Lebih 6,000 lagi kes Covid-19 dikesan, kata Kementerian Kesihatan


Kes baharu jangkitan Covid-19 harian melonjak melebihi 6,000 hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2021.

KES baharu jangkitan Covid-19 harian melonjak melebihi 6,000 hari ini selepas enam hari berturut-turut berlegar dalam lingkungan lebih 5,000 kes, umum Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dalam tempoh 24 jam setakat tengah hari ini, 6,437 lagi kes direkodkan di seluruh negara, dengan Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan lebih separuh daripada keseluruhan kes.

Selangor mencatatkan 2,299 kes sementara Kuala Lumpur 1,361 kes.

Perlis sekali lagi tidak mengesan sebarang kes manakala Terengganu merekodkan 21 kes baharu.

Semalam, Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata beliau mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara supaya meletakkan negeri itu dalam Fasa 3 pelan pemulihan keluar daripada Covid-19, yang membolehkan lebih banyak kelonggaran kegiatan ekonomi dan sosial.

Cadangan dan permintaan itu bagaimanapun katanya ditolak kerana Perlis belum mencapai kadar 40% penduduknya yang berdaftar untuk suntikan vaksin sudah melengkapkan dua dos vaksin berkenaan.

“Perlis perlukan 26% lagi dari penduduknya untuk menerima dua suntikan dos vaksin untuk membolehkan kita memasuki Fasa 3,” tulisnya di Facebook, malam tadi.

Empat fasa pelan pemulihan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu menetapkan jumlah kes harian dan kadar vaksinasi sebagai dua antara tiga garis penentu.

Sehingga semalam, hanya 6.5% penduduk di seluruh negara sudah diberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19. – 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen