Kempen bendera putih tanda kegagalan Putrajaya, kata pemimpin pembangkang


Alfian Z.M. Tahir

Kempen bendera putih yang merupakan inisiatif orang awam adalah bagi membantu mereka yang memerlukan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh. – Gambar Twitter, 29 Jun, 2021.

PEMIMPIN muda pembangkang hari ini menjelaskan bahawa kempen bendera putih adalah inisiatif awam tanpa penglibatan pembangkang.

Mereka bagaimanapun mendesak Putrajaya mengambil perhatian perkara berkenaan kerana ia mencerminkan kemarahan masyarakat terhadap kerajaan kerana gagal mengendalikan pandemik Covid-19 dan mengangkat ekonomi.

Dalam perbincangan secara langsung di Facebook dengan Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat Khalid Samad pagi tadi, Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Ithnin berkata kempen itu menunjukkan kegagalan Putrajaya dan membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Ini adalah tanda jelas kerajaan sudah mengecewakan kita semua. Ketika (perdana menteri) Muhyiddin Yassin mengumumkan darurat, dia berjanji kes akan turun dan ekonomi akan kembali normal.

“Bagaimanapun selepas enam bulan, kita tak melihat perubahan. Ekonomi lemah, kes terus meningkat setiap hari.

“Rakyat berusaha membantu mereka yang memerlukan. Sekiranya kita melihat bendera putih, berhenti dan tanyakan bagaimana kita dapat membantu. Penderitaan ini benar-benar berlaku dan kita perlu mengakhirinya,” kata Shazni. 

Beliau mendesak kerajaan untuk tidak menyalahkan pembangkang disebabkan kempen bendera putih berkenaan.

“Pembangkang bukan sebahagian daripada gerakan kempen berkenaan. Masyarakat sudah muak dan penat dengan janji-janji anda.

“Untuk menteri dan timbalan menteri, jika anda tidak dapat menjalankan tugas, mohon letak jawatan dan biarkan orang lain yang ganti,” kata Shazni.

Pengguna media sosial mendesak mereka yang memerlukan bantuan semasa tempoh sekatan pergerakan penuh untuk menaikkan bendera putih di luar rumah mereka dan mereka yang lain memberikan bantuan apabila melihat bendera berkenaan.

Mesej-mesej ini dimuat naik di Twitter dan Facebook dengan tanda pagar #RakyatJagaRakyat dan #BenderaPutih sebagai tanda kemarahan yang mendalam terhadap kerajaan yang baru sahaja melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Tidak jelas siapa yang memulakan kempen bendera putih tetapi catatan di media sosial mengenai itu bermula semalam dan meningkat naik dalam sekelip mata. – 29 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen