Perlu pembaharuan untuk tangani kemiskinan lebih baik, kata pakar


Bernard Saw

Menurut pakar, kerajaan perlu wujudkan pendekatan lebih meluas dalam menangani kemiskinan daripada memberikan bantuan secara one-off.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2021

PEMBAHARUAN institusi yang digabungkan dengan sistem kebajikan yang progresif dan jaringan perlindungan sosial yang mampan sangat penting jika kerajaan ingin mengatasi kemiskinan dengan berkesan, kata pakar.

Mereka mengatakan usaha baharu kerajaan untuk menangani kemiskinan juga perlu merangkumi lebih banyak bantuan kepada mereka yang kurang pendapatan, yang bermakna bantuan bukan hanya kepada kumpulan B40 tetapi juga M40.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kerajaan juga perlu menyediakan pangkalan data agar mereka yang memerlukan dapat dikenal pasti dengan cepat, terutamanya ketika pandemik.

Mereka merujuk kepada penubuhan Poverty Circle oleh kerajaan untuk membincangkan dan menghasilkan strategi terbaik untuk menangani kemiskinan, terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Poverty Circle terdiri daripada wakil kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan ahli akademik, dan akan ditadbir oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Pensyarah ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong berkata, isu kemiskinan dapat ditangani dengan pembaharuan institusi termasuk mengenai percukaian dan bagaimana bantuan diberikan.

Beliau mengatakan terdapat beberapa model yang dapat dipertimbangkan termasuk mempertimbangkan sistem kebajikan progresif.

Ini bermakna lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah berbanding cara sedia ada yang mengagihkan bantuan mengikut kategori B40 dan M40.

Beliau memberikan contoh bahawa subsidi dapat diberikan berdasarkan pendapatan bulanan, dengan lebih banyak subsidi untuk mereka yang berpendapatan rendah.

“Ini juga akan mendorong semua orang untuk membayar dan memfailkan cukai. Keseluruhan cukai akan lebih lengkap dan kita juga dapat memperoleh maklumat yang lebih terperinci.

“Dan semasa proses tinjauan, mereka akan tahu ssama ada mereka memenuhi syarat untuk mendapatkan bantuan kewangan.”

Beliau juga menegaskan bahawa bantuan yang relevan tidak boleh dilakukan secara one-off atau dilakukan sekali-sekala.

Beliau mencadangkan kaedah lain yang serupa dengan model cukai pendapatan negatif di Amerika Syarikat yang tidak akan memberi kesan “mendorong orang untuk tidak bekerja”.

“Orang Amerika perlu membayar cukai selagi ada pendapatan, tetapi itu akan memberi rebat bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah dan untuk mendorong mereka bekerja.”

“Kita boleh mengikutinya, tapi mungkin kita juga boleh mengikut cara kita sendiri,” kata Wong. – 29 Jun, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen