Moratorium pinjaman hanya penyelesaian jangka pendek, kata rakyat Malaysia 


Pakej bantuan ekonomi Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menerima kritikan daripada pelbagai pihak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2021.

MORATORIUM pinjaman tanpa faedah hanyalah penyelesaian jangka pendek untuk membantu mereka yang terkesan, kata rakyat Malaysia di media sosial.

Mereka mengatakan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada semua individu yang diumumkan di bawah pakej bantuan ekonomi Pemulih semalam hanya akan menambahkan hutang penerima.

Perancang hartanah yang juga peguam, Cassandra Lee menyuarakan kebimbangan berhubung moratorium sehari sebelum Pemulih diumumkan.

Beliau menulis, “moratorium bermakna kita akan berhutang lebih lama, yang mana akhirnya kita bayar lebih banyak kepada bank dan bagaimanapun, bank masih mengaut keuntungan. Fikirkan tentang faedah.

“Ia hanyalah penyelesaian sementara untuk ramai orang, ramai yang perlukan lebih daripada moratorium untuk meneruskan hidup.”

Malam tadi, beliau menambah, “Mengambil kesempatan dalam kesempitan. Itu yang saya lihat mengenai moratorium.

“Kerana ramai yang perlukan moratorium hanya untuk meneruskan hidup. Bank mana yang akan naikkan kadar faedah kali ini? Kita lihat…”

Seorang lagi pengguna media sosial, Darren G berkata, “kadar faedah moratorium masih berterusan, bank tidak akan alami kerugian tetapi rakyat yang akan rugi. PM umum moratorium tetapi tidak ceritakan yang sebenar. Ini bukan bantuan tetapi hanya akan menyusahkan kita di kemudian hari.”

Semalam, dua bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dan Najib Razak turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan sama ada moratorium pinjaman ini tiada kadar faedah.

Mereka mengatakan ketika pakej bantuan ini ditunggu-tunggu oleh rakyat, masih ada beberapa kekurangan yang perlu diteliti dan keduanya menyentuh mengenai moratorium pinjaman, dengan mengatakan ia bukan moratorium automatik, dan bukan tanpa faedah. – 29 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen