Warga HKL tetap cekal perangi Covid-19


Mohd Farhan Darwis

Petugas barisan hadapan berdepan kebimbangan jadi penyebab jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga kerana berurusan dengan pesakit virus itu setiap hari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

SETIAP hari, petugas barisan hadapan dihantui kebimbangan menjadi penyebab jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga kerana berurusan dengan individu yang dijangkiti wabak tersebut setiap hari.

Risiko itu bagaimanapun terpaksa ditempuhi kerana tugas harian mereka adalah menguruskan pesakit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rosmira Ramli, 31, yang berkhidmat di wad tersebut sejak tujuh tahun lalu terlibat secara langsung menjaga pesakit Covid-19 ketika penularan dikesan dalam negara pada Mac tahun lalu.

Beliau yang baru mula bekerja selepas menghabiskan cuti bersalin anak pertamanya pada waktu itu juga terpaksa dikuarantin selama 14 hari kerana menunjukkan simptom jangkitan Covid-19.

Rosmira memberitahu The Malaysian Insight, keadaan itu mengharukannya kerana tidak dapat memberi jagaan penuh dan menyusukan bayinya.

Walaupun ujian calitan disahkan bebas daripada jangkitan, sejak itu Rosmira tidak lagi memberi susu ibu kepada bayinya kerana khuatir anaknya akan dijangkiti wabak tersebut.

“Saya takut saya akan menjadi punca jangkitan kepada suami dan anak, waktu itu anak saya baru berusia tiga bulan.

“Sejak saya mula menjaga pesakit Covid-19 saya tidak beri susu ibu, anak saya beri susu formula, walaupun sebenarnya boleh menyusukan bayi, tetapi saya takut,” kata Rosmira.

Jururawat ICU Rosmira Ramli menangis menceritakan kerisauannya andai kata anaknya yang baru lahir atau ahli keluarganya dijangkiti Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

Sejak itu, beliau sentiasa bimbang walaupun membersihkan diri sebaik mungkin selepas selesai bertugas kerana bimbang menjangkiti anggota keluarganya.

“Di sini sebelum balik kita perlu mandi, kalau saya mandi kadang-kadang saya was-was, takut bawa balik kepada keluarga.

“Sampai di rumah uniform terus basuh. Kebersihan dijaga sebab kita tak pasti apa kita bawa balik ke rumah,” katanya ketika ditemui di HKL.

Kesedihannya tidak dapat dibendung kerana sudah lebih setahun tidak pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menjenguk keluarganya.

“Kalau dulu saya balik tiga bulan sekali ke kampung jumpa emak, tetapi gelombang kali ini memang tak boleh balik kampung sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Tetapi nak balik kampung pun risau sebab takut kita bawa (jangkitan Covid-19) kepada keluarga di kampung,” katanya.

Beliau yang kini hamil anak kedua dengan kandungan berusia empat bulan itu masih bertugas di wad ICU HKL sebagai kakitangan sokongan di luar dan tidak memasuki wad tersebut.

Ini kerana ibu mengandung merupakan kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan kerana mempunyai kadar imuniti yang rendah.

Seorang lagi jururawat ICU Covid-19, Kirthanasri Ramanathan juga sudah tidak tahan menanggung rindu kerana sudah lebih enam bulan berjauhan dengan suami dan keluarga.

Sejak mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu, jururawat HKL itu hanya berpeluang berjumpa suaminya pada awal tahun ini.

Kirthanasri biasa bertugas dua shift selama 14 jam dan sepanjang tempoh itu tidak dibenarkan makan dan minum di dalam wad selain tidak dapat ke tandas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

Ibunya menetap di Kedah, manakala suaminya yang juga petugas barisan hadapan berkhidmat sebagai doktor di Sabah, kata Kirthanasri, 27.

“Jumpa ibu kali terakhir sewaktu majlis perkahwinan saya, dia juga tinggal seorang diri di sana,” kata Kirthanasri.

Seperti rakyat Malaysia yang lain, hubungan dengan keluarga dan suaminya hanya dilakukan melalui panggilan telefon dan video.

Mengulas mengenai tugasnya di wad Covid-19, Kirthanasri berkata ia mencabar ketahanan mental apabila terpaksa memakai peralatan pelindung diri (PPE) sepanjang syif tujuh jam bekerja.

Kirthanasri juga biasa bertugas dua shift selama 14 jam dan sepanjang tempoh itu beliau tidak dibenarkan makan dan minum di dalam wad selain perlu menahan diri daripada pergi ke tandas.

“Kerja lebih masa itu biasa, pesakit di ICU kita tak boleh dijangka mereka akan sentiasa stabil jadi (kadang-kala perlu) kerja lebih masa.

“Double shift selama 14 jam dengan PPE duduk dalam wad, tanpa makan dan minum, tak boleh ke bilik air,” kata Kirthanasri.

Seorang lagi jururawat, Muhammad Iqbal Ismail, 37, juga terpaksa berjauhan dengan isteri dan empat anaknya.

Dia yang sudah 16 tahun berkhidmat dalam bidang kejururawatan juga tidak dapat bersama keluarganya ketika sambutan Aidilfitri pada Mei lalu.

Kali terakhir Iqbal berjumpa dengan isterinya yang bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi pada Oktober tahun lalu.

Tiga anaknya diletakkan di bawah jagaan keluarganya di Kuantan, dan seorang lagi anaknya dijaga oleh keluarga mertua di Gemas, Negeri Sembilan.

“Maksudnya kami beraya secara maya, minggu ke dua bulan puasa kali terakhir jumpa anak-anak saya,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berdepan stigma masyarakat kerana melibat orang awam beranggapan seolah-olah jururawat dan petugas kakitangan kesihatan berisiko menularkan wabak berkenaan.

Disebabkan itu, beliau jarang melawat keluarga dan anak-anaknya dijaga keluarga di kampung.

“Persepsinya mereka anggap kita tak patut dekat dengan masyarakat jadi saya kena elak, demi menjaga ibu bapa kita sebab jiran bercakap.

“Saya tidak balik selalu, tapi kalau ada peluang saya akan balik ke kampung,” katanya.

Muhammad Iqbal Ismail sudah 16 tahun berkhidmat dalam bidang kejururawatan juga tidak dapat bersama keluarga ketika sambutan Aidilfitri pada Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

Iqbal bagaimanapun yakin SOP yang digunakan dan diamalkan kakitangan wad ICU selepas tamat tugasan mampu mengekang penularan Covid-19 daripada tersebar ke luar.

“Nak kata takut masih ada tapi bila kita buat amalan yang betul, pakai PPE, lepas kerja mandi bersihkan diri itu cukup selamat,” katanya.

Ketua Jururawat ICU HKL Yusnita Mohamad Yusof, 44, juga mengakui bekerja di dalam persekitaran berbahaya itu mempunyai tekanannya tersendiri.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 21 tahun itu berpengalaman menguruskan wad tersebut sejak penularan Covid-19 mula dikesan pada tahun lalu.

“Bekerja di wad ICU ini banyak prosedur yang memerlukan tenaga kerja, kakitangan saya dan saya juga rasa tertekan.

“Mula pada 2019, amat perit bagi kami ketua jururawat yang perlu uruskan semua perkara, daripada pesakit, kakitangan, makanan, pemakaian, semuanya. Kita kena ada kerjasama dengan semua pihak.

“Peringkat awal pun dulu kita tak tahu cara penjagaan pesakit Covid-19, kita perlu terangkan pemakaian PPE kepada kakitangan dan setakat ini mereka beri komitmen dan tanggungjawab bersama untuk jaga pesakit Covid-19 ini,” katanya.

Yusnita juga berkongsi kerisauan seperti anak buahnya, mereka berisiko membawa keluar Covid-19 daripada tempat kerja.

“Kadang-kala kita rasa masih tak bersih tetapi kita reda… Takut memang takut kerana ada kakitangan yang menjaga anak kecil.

“Tetapi saya harap Allah saja yang tolong,” katanya.

Petugas barisan hadapan menempuhi risiko kerana tugas harian mereka menguruskan pesakit di wad ICU Covid-19 HKL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

SOP yang diamalkan di HKL antara lain mewajibkan setiap petugas mandi dan membersihkan diri sebaik tamat tugas sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Bagi menjalankan prosedur terhadap pesakit, doktor bertugas di ICU perlu memakai sut khas dikenali sebagai Powered Air Purifying Respirator (PAPR).

Kelengkapan itu melindungi diri mereka daripada terkena jangkitan Covid-19 kerana Covid-19 merupakan penyakit yang mudah berjangkit melalui bawaan udara.

Selain itu, petugas di wad ICU juga perlu memakai alat pelindung peribadi (PPE) sepanjang syif tujuh jam mereka di wad berkenaan.

Kakitangan yang berada di dalam wad berkenaan juga tidak boleh makan dan minum, selain tidak boleh keluar ke tandas sepanjang tempoh syif bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Seorang petugas di unit forensik yang menangani kes kematian Covid-19 pula sanggup memilih untuk bertugas hingga 20 jam sehari demi keselamatan keluarganya.

Penolong pegawai perubatan, Hisham Mohd Nordin berkata dengan cara itu dia mampu mengurangkan risiko menjangkiti ahli keluarganya yang lain.

“Saya bukan memaksa diri tapi kerana utamakan keselamatan keluarga, sehari saya kerja hingga 20 jam sehari,” kata bapa kepada enam anak itu.

Kakitangan Institut Perubatan Forensik Negara HKL itu menjelaskan beliau sebolehnya mahu mengelak jangkitan tersebut.

“Saya elakkan daripada bergaul dengan anak saya, ini bukan kerisauan lagi, ini ketakutan saya, bila saya sakit saya asingkan diri… Bukan tak mahu jumpa keluarga tapi saya jarakkan diri.

“Kalau rasa demam, sakit tekak, saya akan asingkan diri, saya tak nak bercampur dengan mereka kita tak tahu benda ini ada dalam badan. Itu saya cuba elakkan,” katanya. – 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen